suria

Tak perlu untuk Muhyiddin berundur, Bung Mokhtar minta semua pihak hormati titah Agong

Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta semua pihak menghormati titah Agong. Foto: The Star/Raja Faisal Hishan

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu tunduk kepada desakan beberapa pihak yang mahukannya meletakkan jawatan berikutan penolakan Yang di-Pertuan Agong terhadap cadangannya untuk mengisytiharkan darurat, kata Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

"Jika mereka menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, mereka perlu ikhlas dan berjiwa besar termasuklah menyokong pembentangan Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini demi kepentingan negara dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, tuntutan beberapa pihak yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatan hanyalah tindakan yang bersifat mementingkan diri untuk memuaskan nafsu mereka tetapi tidak menjamin kemelut politik negara berakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Umno kekal sokong kerajaan PN... tolak kerjasama dengan Anwar, DAP

"Ini hanya akan memperburuk keadaan," katanya, sambil menambah bahawa kepimpinan Muhyiddin juga diperakui oleh Yang di-pertuan Agong dalam mengemudi negara menghadapi cabaran semasa terutamanya penularan wabak Covid-19.

Katanya, tidak dinafikan bahawa wujudnya beberapa kelemahan tapi ia masih boleh diperbaiki berbanding dengan apa yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara selama 22 bulan sebelum ini.

Justeru tegas Bung, semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan politik perlu bersatu untuk menghormati keputusan Agong yang telah bertitah baru-baru ini.

"Ketika ini, kita perlu berganding bahu tanpa mengira kerajaan atau pihak pembangkang untuk bersama-sama memerangi penularan semula pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kerencatan usaha pemulihan ekonomi," kata beliau lagi. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain