suria

Diskaun sehingga 50 peratus... Apa tunggu lagi, jom serbu Jualan Keluarga Malaysia!

Keluarga Malaysia gembira membeli belah di program Jualan Keluarga Malaysia di Kedah.

DARI kedai kopi sehinggalah ke media sosial, isu kenaikan harga barang menjadi antara topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat yang runsing bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Masakan tidak, disaat mereka masih bergelut untuk bangkit semula setelah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, ada yang diuji pula dengan kenaikan harga berlipat ganda bagi barang keperluan seperti ayam, telur, roti dan sayuran.

Menyedari hakikat ini kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah menganjurkan program Jualan Keluarga Malaysia.

Program ini membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan asas pada harga potongan di antara 20 hingga 50 peratus daripada harga pasaran semasa.

Program yang akan diadakan di semua negeri ini akan dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula 4 Disember lepas.

Selain itu, kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif untuk mengawal kenaikan harga ayam iaitu dengan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku dari luar negara.

Langkah ini bertujuan untuk memenuhi pasaran dengan bekalan ayam pada harga lebih rendah, seterusnya memberi pengguna lebih banyak pilihan.



Ayam mentah dengan harga RM7.99 antara yang dijual sewaktu Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Econsave, Taman Daya.

Peminat tegar ikan tidak perlu khuathir.

Selain itu, stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan dipertingkatkan di pasaran, serta pengeksportan hasil laut itu juga akan diberhentikan buat sementara waktu bagi memastikan stok bahan mentah itu mencukupi.

Peningkatan dari segi penawaran ini dijangka dapat menstabilkan bekalan serta harga ikan di pasaran terutama sekali menjelang musim monsun yang dijangka memberi kesan kepada bekalan ikan.



Stok ikan sejuk beku Q'Fish akan dipertingkatkan untuk menstabilkan harga bahan mentah itu.

Selain pengguna, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan petani serta peniaga mengawal kos mereka.

Sebanyak RM62 juta disalurkan kepada petani melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 billion.

Insentif ini diharap dapat mengurangkan beban kos yang ditanggung peladang, seterusnya memastikan harga barang tidak dinaikkan dengan alasan kos pengeluaran meningkat disebabkan harga racun yang tinggi.

Kerajaan juga telah memperuntukan RM200 juta sebagai pinjaman agro makanan dengan kadar faedah sifar peratus kepada pengusaha sayur-sayuran dan buah buahan.

Pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan juga diberi moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan Agrobank.



Suntikan RM62 juta lagi disalurkan kepada petani melalui Nafas sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi.

"Jangan hukum penjaja dan peniaga kecil yang gagal bayar pinjaman," itu rayuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu menyambut sambutan hari penjaja dan peniaga kecil Keluarga Malaysia pada 3 Disember lepas.

Bagi membantu golongan ini bangun yang terkesan dek pandemik Covid-19, sebanyak RM48.52 juta telah diperuntukkan bagi program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil dan RM100,000 lagi buat Persatuan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM).

Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat.



Kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil bangkit setelah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pembiayaan ini diharap dapat membantu mereka dari segi modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, sewa dan bil utiliti.

Pelbagai insentif dan program dianjurkan kerajaan bagi manfaat masyarakat berbilang bangsa dan Jualan Keluarga Malaysia seharusnya menjadi platform yang dinanti-nantikan kerana melaluinya tentu sekali rakyat negara ini dapat merangka perbelanjaan dengan lebih berhemah, sekali gus mengurangkan bebanan bagi meneruskan kehidupan lebih selesa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain