suria

Tumbuk perut: Empat pelajar 13 tahun ditahan

Pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar.

SUSULAN tular video seorang pelajar dibuli dengan perutnya ditumbuk sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai, empat pelajar dipercayai menjadi suspek utama kejadian di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, telah ditahan polis.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik! Tular video buli pelajar disyaki di asrama 'maktab'... bangga tumbuk perut mangsa, ada yang jerit 'mantap gila'!

Beliau berkata, keempat-empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara pukul 6 hingga 7 petang pada Jumaat.

"Empat pelajar telah ditahan petang tadi (Jumaat) untuk siasatan lanjut," katanya.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Mior Faridalathrash dalam kenyataan sebelum ini memberitahu, tujuh remaja bersama seorang mangsa masing-masing berusia 13 tahun dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan.

Kesemua mereka yang juga pelajar Tingkatan Satu itu bersama pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain