suria

Berkuat kuasa serta merta... guru dan petugas Kemas dibenarkan berpolitik

Ismail Sabri berkata isu tersebut dibawa ke kabinet sebelum kerajaan memutuskan untuk memberi kebenaran kepada guru dan petugas Kemas berpolitik.

GURU dan petugas Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan untuk kembali berpolitik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Ujarnya, sebelum ini ada pekeliling yang menyekat guru dari berpolitik dan ramai pendidik diberikan amaran dan diambil tindakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebenaran Berpolitik Dianggap Bukti Kepercayaan Kerajaan Kepada Guru

"Saya telah pun bawa isu ini ke kabinet dan kabinet memutuskan kita beri kebenaran kepada guru berpolitik bagi menghormati semangat demokrasi.

"Jika pekeliling masih belum dikeluarkan, saya berharap Kementerian Pendidikan bertindak segera mengeluarkannya supaya tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini," katanya pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Biro Politik Umno Negeri di Dewan Umno Kelantan, di Kota Bharu.

Hadir sama, Pengerusi Umno Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan kepimpinan Umno Negeri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sebelum ini mereka dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa, namun semasa pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH), mereka tidak dibenarkan berpolitik.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa petugas Kemas juga diberikan kebenaran ini cuma mereka masih tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing.

"Kalau mereka berpolitik sehingga meninggalkan tugas masing-masing, mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya. Itu terserah kepada jabatan masing-masing," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain