TIADA rakaman video melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang telah dirakam oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara, demikian kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penjara Malaysia. Kenyataan tersebut adalah maklum balas susulan dakwaan yang tular di media sosial, selepas bekas perdana menteri itu dilihat muncul dalam program yang disiarkan di TV1 pada 24 Oktober 2022. Menurut kenyataan itu, berdasarkan semakan awal, video itu telah dirakam terlebih dahulu oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia, Episod 57, iaitu sebelum Najib dipenjarakan. ARTIKEL BERKAITAN: Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta "Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik. "Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab," kata Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan pada Selasa. Terdahulu, tangkapan skrin memaparkan Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, tular di media sosial dengan beberapa pihak mendakwa beliau diberi masa untuk berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15. Ia sekaligus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen dan mempersoalkan bagaimana Najib berjaya mendapatkan masa tayangan semasa beliau berada di dalam penjara. Untuk rekod, Najib dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Sebelum ini, Jabatan Penjara berkata banduan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi tujuan berkempen pada PRU15. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI