suria

Anjing merajuk tak mahu beri kerjasama, abang bomba sabar pujuk guna ayat manis - “Putus cinta ke ni?”

Seorang anggota bomba 'memujuk' seekor anjing di bahagian luar balkoni sebuah bangunan.

KITA biasa melihat video atau perkongsian memaparkan anggota bomba menggunakan kepakaran mereka untuk memujuk individu yang stres atau murung yang ingin membuat cubaan melakukan sesuatu tindakan di luar jangkaan.

Bagaimanapun, lain pula halnya kali ini apabila anggota bomba berdepan dengan tugas luar biasa, iaitu memujuk seekor anjing!

Video insiden mencuti hati itu dikongsikan di laman Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, pada Khamis.

Menerusi video berkenaan, kelihataan seekor anjing yang dipercayai terkandas berada di bahagian luar balkoni sebuah bangunan.

Disebabkan lokasinya agak berbahaya, khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi menyelamatkan anjing tersebut dan membawanya ke tempat yang lebih selamat.

Kelihatan beberapa anggota bomba bersedia dari dalam bangunan sambil memegang tali keselamatan yang diikat pada salah seorang daripada mereka yang ditugaskan untuk mengambil anjing itu.

Bagaimanapun, apa yang melucukan, anggota bomba tersebut terpaksa memujuk haiwan berkenaan yang kelihatan seakan-akan merajuk dan enggan memberi kerjasama.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan nak bunuh diri, bomba ‘selamatkan’ lelaki cuba pecah masuk bangunan

"Bukan senang nak pujuk nie. Abang Bomba juga la kena bagi ayat manis," demikian kapsyen pada video yang dikongsikan di Facebook.

Malah, netizen sempat berseloroh dan menyifatkan situasi itu seperti seorang lelaki sedang memujuk teman wanita yang sedang merajuk.

"Alolo putus cinta ke ni?

"Amboi, merajuk kalah perempuan!

"Merajuk sungguh tu sampai dagu ke dinding," demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu, rata-ratanya memberikan pujian kepada anggota bomba yang sentiasa memberikan khidmat cemerlang dan tampil ke depan menjadi wira masyarakat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain