PULAU Pinang mengisytiharkan wabak demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) sebagai 'bencana' selepas terdapat kes dilaporkan di lima lagi ladang babi komersial di dua daerah negeri itu. Ini menjadikan keseluruhan tujuh ladang babi komersial telah dijangkiti dengan kes ASF, melibatkan 25,000 babi, setakat ini. Lima daripada ladang yang terjejas adalah di daerah Seberang Prai Selatan, manakala dua lagi ladang di daerah Seberang Prai Tengah. Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata 929 babi dari ladang yang pertama kali melaporkan kes ASF telah dimusnahkan dan bangkainya ditanam di tapak ladang. "Semua 25,000 ekor babi dari tujuh ladang yang terjejas akan dimusnahkan secara berperingkat bagi mengelak penularan ASF. "Pemusnahan mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan. "Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memantau keadaan dalam radius 5 kilometer dari ladang terjejas bagi mengelak penularan ASF," katanya pada Jumaat (13 Jan). ARTIKEL BERKAITAN: 2,000 ekor babi di 19 ladang hilang tanpa khabar berita, apa yang berlaku sebenarnya Chow turut menggesa semua pengusaha ladang babi supaya melaporkan kematian haiwan ternakan mereka untuk ujian dijalankan. Beliau berkata wabak ASF disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dijalankan antara 4 dan 12 Januari ke atas sampel babi dari ladang terjejas. "Untuk mengawal dan mencegah penularan ASF, JPV Pulau Pinang telah melaksanakan 'stamping out policy' untuk memusnahkan babi di ladang yang mempunyai kes positif ASF. "Pemusnahan dilakukan dengan kaedah gas CO2 (High Concentration) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum ditanam secara sempurna. "Pemusnahan tidak dapat dimulakan lebih awal berikutan kekangan di kawasan yang akan dijadikan tapak pelupusan," katanya. Chow berkata sekatan jalan raya (SJR) telah mula dijalankan di jalan-jalan masuk ke kawasan perkampungan Valdor bermula 10 Januari lalu. SJR ini ujarnya, dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk babi hidup serta karkas babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain. September lalu, dua ladang babi komersial di daerah Kerian di Perak dilanda wabak ASF. Menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, ASF telah menjadi krisis besar bagi industri daging babi dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan menjejaskan beberapa wilayah di seluruh dunia. ASF adalah wabak berjangkit untuk ternakan dan babi liar dan kadar kematian boleh mencapai 100 peratus. Penyakit itu bukanlah ancaman kepada manusia tetapi boleh memberi kesan buruk kepada populasi babi dan industri penternakan. Pada masa ini tiada vaksin yang berkesan terhadap ASF. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI