suria

Lelaki bakar mercun di MRR2 undang kemarahan, netizen seru polis tangkap segera - “Dia nak beraya dalam tirai besi!”

Seorang lelaki dilihat sedang membakar bunga api di tepi jalan raya.

KETIKA sambutan Aidilfitri semakin hampir, kemeriahannya cukup dirasai dengan dentuman mercun dan nyalaan bunga api warna-warni menerangi langit malam.

Namun, tidak dinafikan ada segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab menggunakan momen ini untuk bertindak di luar batasan.

Melalui satu perkongsian di laman Facebook Inforoadblock, seorang lelaki melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab dengan membakar sekotak bunga api di tepi jalan raya yang sedang sibuk dengan kenderaan.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhadapan stesen minyak Petronas pada Sabtu malam.

Perbuatan itu jelas membahayakan pengguna jalan raya kerana percikan api dari letupan bunga api itu boleh terkena pada kenderaan dan menyebabkan kerosakan harta benda serta membawa kepada risiko kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kecil melecur hampir 50 peratus ketika main bunga api, ibu bapa sedang tengok TV dalam rumah

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa serang kami?” - Macam perang! Rumah gadis dibaling mercun, batu sejak 1 Ramadan... dah 2 ahli keluarga cedera

Selain itu, das letupan bunga api itu juga dilihat menghasilkan asap berwarna putih yang tebal dan boleh mengganggu jarak penglihatan pemandu di jalan raya.

Perlu diambil kira juga bahawa letupan bunga api itu boleh menganggu fokus pemandu dan berkemungkinan menyebabkan insiden yang tidak diingini.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan ke atas individu terbabit.

"Mereka ni tak ada rumah ke, kenapa nak cari 'penyakit' bakar bunga api di tepi jalan juga ni.

"Kerajaan dah bagi kelonggaran untuk penjualan bunga api tapi mereka yang kurang bijak buat macam ni pula, jangan marah kalau kelonggaran itu ditarik semula.

"Memang sungguh pekat mereka ni punya kebebalan. Dah boleh tangkap orang macam ni... dia nak beraya dalam tirai besi," ujar sebahagian warga maya.

Sebagai makluman, dalam satu pengumuman pada 27 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan sebanyak 45 jenis bunga api dan mercun untuk diimport, disimpan dan dijual hanya ketika musim perayaan.

Pihak syarikat bunga api dan mercun itu perlu mendapatkan permit menjual daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan permit berniaga daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain mempunyai tempat simpan selamat bahan letupan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain