suria

Pulau Pinang catat IPU tidak sihat

Pulau Pinang merekodkan bacaan IPU tidak sihat, pagi Isnin.

BAU asap melanda Pulau Pinang yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 145 setakat pukul 9 pagi Isnin.

Stesen pengukuran kualiti udara Jabatan Alam Sekitar di Prai merekodkan bacaan 136 sejam sebelum itu.

Stesen-stesen di Balik Pulau dan Batu Uban merekodkan bacaan IPU sederhana masing-masing 82 dan 96.

Sementara itu, laman web Indeks Kualiti Udara Dunia (Waqi) alat pengukur pencemaran udara bebas di Tanjung Bungah merekodkan bacaan IPU yang lebih tinggi iaitu 155, berdasarkan saiz zarah 2.5 mikron.

Menurut laman web Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC), tiada titik panas yang menunjukkan pembakaran terbuka yang ketara berlaku di Malaysia dan hanya satu titik panas dikesan di kepulauan Sumatera.

Bagaimanapun, satelit mencatatkan ratusan titik panas yang tersebar di berjuta-juta hektar di timur Myanmar dan di seluruh Laos.

Dipercayai bahawa titik panas ini adalah hasil daripada petani yang mengamalkan pertanian secara tradisional tebas dan bakar, dengan kawasan hutan untuk dibersihkan dan kemudian dibakar untuk memperkayakan tanah dengan kalium dan fosfat sambil membunuh perosak.

Laman web ASMC menunjukkan bahawa angin selatan yang lemah di sepanjang pantai barat Myanmar menghembus sebahagian daripada asap yang terhasil ke arah selatan Thailand dan Malaysia.

Thailand pula mencatatkan bacaan lebih buruk, dengan stesen pengukur kualiti udara di Phuket merekodkan paras sangat tidak sihat iaitu 184. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain