SAMBIL menyelam, seorang lelaki bertindak mencium pelancong wanita! Lelaki berkenaan, yang merupakan pembantu jurulatih selam bagaimanapun menerima padah apabila ditahan polis kerana disyaki mencabul pelancong wanita warga China ketika melakukan aktiviti menyelam di Semporna, Sabah, pada Jumaat. Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintendan Arif Abdul Razak, berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah penginapan atas air, di Sabah, selepas mangsa membuat laporan jam 10.03 pagi Sabtu. Menurut keterangan mangsa yang berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari. "Mangsa mendakwa telah dicium pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selaman skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini," katanya memetik laporan BH Online. Selepas membuat laporan, mangsa terus ke Lapangan Terbang Tawau untuk berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal. Susulan insiden, suspek yang bekerja separuh masa ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei untuk siasatan lanjut. "Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya. Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial dengan beberapa keping foto termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba. Rakaman menunjukkan mangsa pada mulanya melakukan trend dipanggil 'mini love' bersama jurulatih tersebut sebelum dicium pada bahagian pipi. Selain itu, turut dikongsikan tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa serta laporan polis yang dibuat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube