MENGHINDARI daripada perbuatan rasuah seharusnya menjadi matlamat semua pihak. Seiring dengan itu, Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023 dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi pada Rabu. Program berkenaan mewartakan Pertubuhan Peladang sebagai Badan Awam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang berkuatkuasa 22 Mei 2023. Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas, Datuk Zamri Yaakob menyatakan pewartaan Pertubuhan Peladang sebagai Badan Awam membuktikan betapa pentingnya agensi itu kepada negara. Menurutnya, ia umpama pengiktirafan yang perlu dipikul dengan teliti dan rasa tanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tadbir urus Pertubuhan Peladang. Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023 “Pewartaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 71 (1) ASPRM 2009 ini membawa maksud Pertubuhan Peladang yang merangkumi Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan sebagai Badan Awam. "Pengiktirafan itu adalah wajar bagi memastikan kepentingan kerajaan, Pertubuhan Peladang dan ahli ahli lebih terjamin. "Ia juga bagi memastikan tadbir urus yang bebas rasuah, bebas salah guna kuasa serta penyelewengan," katanya dalam kenyataan pada Rabu. Tambahnya lagi, ia juga akan memberi satu definasi yang jelas dan tepat dalam menguatkuasakan perundangan bagi memastikan warga Peladang menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah semasa aktiviti harian perniagaan. "Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Nafas memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosioekonomi para peladang. "Kami juga memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara. "Selain itu, penganjuran program tersebut membuktikan komitmen dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul demi menjadikan Nafas sebuah organisasi Pertubuhan Peladang yang telus dan cemerlang," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube