suria

Suasana hiba ketika pengebumian Adun Pelangai... Ahmad Zahid, Ismail Sabri turut iringi perjalanan terakhir Allahyarham Johari

Datuk Seri Ahmad Zahid turut hadir sewaktu upacara pengebumian Allahyarham Johari. Gambar FB Ahmad Zahid

JENAZAH Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, Gombak, kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan ketika jenazah tiba untuk dikebumikan.

Antara yang turut mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay juga turut kelihatan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Suasana sayu, ratusan hadir pengebumian... Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah dan Masjid Saidina Hamzah bagi solat jenazah kali kedua.

Allahyarham Johari adalah salah seorang daripada 10 individu yang maut dalam nahas pesawat terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Mangsa lain dikenal pasti sebagai juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim; penumpang iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali

Seorang pemandu e-hailing dan seorang pekerja penghantaran makananturut terbunuh apabila pesawat itu terhempas. Mereka dikenal pasti sebagai Sharipuddin Shaari dan Muhamad Hafiz. - THESTAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain