IBU kepada juruterbang yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu, melahirkan kesyukuran apabila urusan perjalanan terakhir anaknya dipermudahkan. Menurut Mahanom Ismail, 67, dia tidak menyangka jenazah anaknya iaitu Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, dapat disempurnakan lebih awal daripada yang dimaklumkan sebelum ini. "Syukur Alhamdulillah hari ini selesai semua... kita tertunggu-tunggu dari Khamis, jadi hari ini dah selesai, Alhamdulillah," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Gombak, pada petang Ahad. Bercerita lebih lanjut, Mahanom sempat berkongsi satu peristiwa yang dialaminya sehari selepas Allahyarham maut dalam nahas berkenaan. "(Saya) tak bermimpi (mengenai arwah) tapi ada rasa macam dia ada. Malam hari Jumaat, masa tu tengah mengemas, datang angin sepoi-sepoi bahasa. Rujuk dengan ustazah juga... mungkin ada katanya. "Allahyarham anak yang baik sangat, pertuturan bahasanya baik, suka bagi nasihat. "InsyaAllah dia ada tempat terbaik. Apabila tengok cuaca hari ni, daripada panas, mendung tiba-tiba turun hujan," ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat anaknya. ARTIKEL BERKAITAN: “Last sekali dia kata adik sayang mama” - Ibu juruterbang pesawat terhempas terngiang-ngiang perbualan telefon dengan arwah Allahyarham Shahrul Kamal Roslan selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.30 petang tadi dalam suasana hujan lebat dan disaksikan sekitar 200 ahli keluarga dan kenalan. Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Ar-Rahimiah, Klang sebaik sahaja dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Jenazah kemudian dibawa ke kediamannya sebelum ke Masjid Kampung Klang Gate Baru bagi solat jenazah kali kedua. Allahyarham Shahrul Kamal adalah salah seorang daripada 10 individu yang maut dalam nahas pesawat terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Shah Alam, Khamis lalu. Mangsa lain dikenal pasti sebagai juruterbang Heikal Aras Abdul Azim; penumpang iaitu Adun Pelangai Datuk Seri Johari Harun, Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali. Seorang pemandu e-hailing dan seorang pekerja penghantaran makanan turut terbunuh apabila pesawat itu terhempas. Mereka dikenal pasti sebagai Sharipuddin Shaari dan Muhamad Hafiz. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube