suria

Hampir tak balik Malaysia! Pemuda kongsi kejadian nyaris diculik di Bangkok, pemandu e-hailing jadi dalang

Sindiket jenayah culik di negara luar boleh menyasarkan sesiapa sahaja. -Gambar hiasan

BAYANGKAN anda sedang gembira bercuti di luar negara namun tiba-tiba anda melalui pengalaman yang cukup mendebarkan.

Begitulah kisahnya bagi seorang lelaki warganegara Malaysia, Andrew Tong apabila dia hampir menjadi mangsa culik ketika melancong ke Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Berkongsi kisah di Facebook, Andrew berkata segalanya bermula apabila dia dan rakan-raknnya sedang menaiki perkhidmatan e-hailing untuk ke lapangan terbang.

Sindiket jenayah culik lebih cenderung ke arah pelancong asing. -Gambar hiasan

Menurut Andrew, ahli kumpulannya terdiri daripada dua lelaki termasuk dirinya dan tiga orang wanita.

"Kenderaan e-hailing kami tiba pada pukul 7 malam selepas ditempah. Apabila kami masuk ke dalam kenderaan e-hailing tu, seorang ahli kumpulan kami merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

"Rasa curiga itu tertumpu kepada pemandu e-hailing tersebut yang sepertinya kerap memeriksa telefon pintarnya dan sedang bercakap dengan seseorang di hujung talian. Selain itu, tingkap kenderaannya juga semua digelapkan

"Kemudian dia ada tanya kami asal mana, kami tak fikir banyak waktu tu dan jawab yang kami daripada Malaysia," cerita Andrew.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak di ruang tamu ‘diculik’, ibu baru sampai dari kampung lupa kunci pintu... rupanya ‘kerja’ orang terdekat

Lebih menyebabkan rasa panik apabila salah seorang ahli kumpulan Andrew boleh memahami bahasa Thai dan dapat menangkap perbualan pemandu itu yang didakwa berniat jahat.

"Pemandu tu bercakap dengan seseorang dalam telefon pintarnya mengenai topik yang sungguh mencurigakan, dia ceritakan berapa ramai orang yang ada dalam kenderaan waktu tu, jantina kami semua dan sebagainya.

"Pemandu biasa tak akan cerita tentang hal penumpang secara terperinci begitu," kata Andrew lagi.

Keadaan semakin meruncing apabila pemandu tersebut menyedari rakan Andrew boleh memahami bahasa Thai dan tahu dia sedang menterjemah apa yang dibualkannya.

Sah memang ada yang tak kena ni, kami tak boleh tunggu lagi dah.

ANDREW TONG

"Dia (pemandu) tu tahu akan gerak-geri kami, dia sedar yang kawan saya tengah terjemah satu persatu apa yang dia cakap.

"Dia melaporkan kembali situasi semasa kepada pihak di sebelah sana," kata Andrew mengimbas kembali insiden itu.

Enggan berpeluk tubuh, Andrew membuka aplikasi navigasi Waze untuk memeriksa lokasi terkini mereka sewaktu itu.

"Kalau ikut Waze kami, perjalanan ke lapangan terbang hanya memakan masa 30 minit, tapi apabila kami tengok pada aplikasi Google Maps pemandu, dinyatakan 50 minit baru sampai.

"Lagi membimbangkan apabila pemandu itu turut melaporkan kepada orang dalam telefon pintarnya yang kami buka Waze. Kami ligat berfikir cara nak keluar daripada kenderaan itu.

Gambaran kenderaan e-hailing yang dinaiki Andrew di Bangkok, Thailand.

"Kami cakap dekat pemandu tu minta berhenti, sebab kami perlu ke tandas. Ketika itu kami sedang tersekat dalam kesesakan trafik di pusat bandar Siam. Kami cakap berhentikan saja kami di pusat beli-belah di situ.

"Terus berubah nada suara dan riak wajah pemandu tu, dia cuba untuk memberi seribu satu alasan mengapa dia tak boleh berhentikan kami di situ," cerita Andrew.

Antara alasan yang diberikan adalah pihak polis tidak membenarkan kenderaan untuk diparkir di kawasan tersebut, tindakan undang-undang boleh dikenakan jika ingkar.

"Sebagai alternatif, pemandu tu kata dia boleh berhenti sekejap di sebuah stesen minyak berhampiran untuk kami melepaskan hajat.

"Pemandu itu terus melaporkan kepada orang dalam telefon pintarnya yang dia akan berhenti sekejap di stesen minyak. Pemandu tu pun ada beritahu yang dia syak kami sedang cuba larikan diri.

Seseorang itu harus bertindak pantas untuk menyelamatkan diri dalam situasi cemas. -Gambar hiasan

"Sah memang ada yang tak kena ni, kami tak boleh tunggu lagi dah. Kami terus buka pintu kenderaan e-hailing dan cabut lari, waktu tu kami masih di tengah jalan raya.

"Kami sempat ambil bagasi kami dari ruang penyimpanan di belakang trak pikap e-hailing itu. Pemandu tu tak sempat nak kejar kami sebab dia pun mungkin terkejut yang kami boleh bertindak begitu itu," kata Andrew.

Andrew berkata dia bersyukur kerana pemandu tersebut tidak mengejarnya walaupun mereka langsung tidak membayar tambang e-hailing itu.

"Nasib baik kami sedar apa yang sedang berlaku sebelum terlambat. Lagi satu yang kami pelik adalah bagaimana dia tak mengejar kami untuk tuntut tambang.

"Kalau pemandu e-hailing biasa mesti dia akan cari kami sampai ke lubang cacing untuk bayaran tambangnya, maksudnya betul la pemandu tu ada sesuatu yang direncanakan. Kita perlu sentiasa berhati-hati," kata Andrew menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain