suria

“Pengawal macam nak tercabut jantung!” - Kembara YDPA di Sabah cukup manis, paling lucu panggilan ‘Pakcik Agong’ dan ‘Datin Permaisuri’

Antara momen ketika Kembara Kenali Borneo bagi edisi Sabah.

KUNJUNGAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi Kembara Kenali Borneo bagi edisi Sabah berakhir pada Khamis.

Menerusi kembara yang bermula pada 3 September lalu, ia meninggalkan banyak kenangan menarik antara baginda berdua dan rakyat jelata di Sabah.

Menerusi banyak perkongsian di media sosial, ramai berkongsi momen-momen menarik dan melucukan ketika mereka bersua muka dengan raja berjiwa rakyat itu.

Menariknya perkara itu turut disedari Seri Paduka malah baginda turut menyentuh mengenai hal berkenaan menerusi titahnya.

"Saya terharu apabila anak muda panggil saya Pakcik Agong, ada juga yang panggil saya Abang Agong... ada juga panggil gong, gong, gong. Sekurang-kurangnya menghiburkan saya.

Yang di-Pertuang Agong dan Raja Permaisuri Agong bergambar ketika di Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah.

"Raja Permaisuri Agong dipanggil dengan Datin Permaisuri, ada pujian-pujian kepada isteri saya... ooh cantik sekali, Alhamdulillah," titah baginda

Seri Paduka bertitah demikian ketika menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.

Titah Seri Paduka itu merujuk kepada rakaman mencuit hati yang dikongsikan di media sosial ketika baginda bertemu rakyat.

Dapat dilihat keterujaan rakyat Sabah yang setia menunggu di tepi jalanan dan lokasi-lokasi kembara untuk bergambar dan bersalaman dengan Seri Paduka dan Permaisuri.

Susulan titah Seri Paduka itu, rakyat Sabah sempat memohon ampun kerana tidak mengikut protokol yang sepatutnya apabila menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Ampunkan kami Tuanku dan Raja Permaisuri Agong. Rakyat Sabah terlalu teruja bertemu Tuanku dan Permaisuri. Semoga perjalanan Tuanku dan rombongan sentiasa dalam lindunganNya," tulis portal atas talian sabah.info.

Seorang netizen juga menjelaskan mengapa rata-rata rakyat Sabah sedikit kekok dalam menggunakan bahasa istana ketika berkomunikasi dengan Yang di-Pertuan Agong.

"Sabah merupakan negeri yang tidak mempunyai Sultan. Justeru, kebanyakan kami tidak mempunyai pengetahuan mengenai penggunaan bahasa istana yang betul.

Yang di-Pertuan Agong berkenan menari dalam persembahan suku kaum dan etnik Sabah.

"Selepas 60 tahun pembentukan Malaysia, ini merupakan pertama kali Yang di-Pertuan Agong melakukan kembara jelajah di daerah-daerah utama di Sabah," ujarnya.

Selain tumpuan ke arah Seri Paduka dan Permaisuri, ada juga dalam kalangan netizen yang tertarik dengan pengawal pengiring sepanjang kembara itu.

Rata-rata berpendapat pasukan pengawal Tuanku berdua perlu lebih peka dalam tugas mereka kerana orang ramai berasak-asak untuk mendekati baginda berdua.

Paling ketara apabila Seri Paduka hampir terjatuh ketika berkenan mencuba tarian tradisional suku kaum Murut iaitu Tarian Magunatip.

Seorang pengawal dilihat bergeras naik ke pentas untuk membantu Seri Paduka.

"Bodyguard Agong memang betul-betul tak senang duduk sepanjang perjalanan kali ini.

"Banyak kerja mereka. Pengawal pengiring Tuanku dah macam nak tercabut jantung," kata beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain