suria

Bakal pengantin ditahan bawa 2kg dadah bernilai RM120,000

Jasmin menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas semasa sidang media pada Jumaat.

SEORANG lelaki yang dipercayai akan melangsungkan majlis pernikahan pada Sabtu ini ditahan polis di Jalan Timur, Tawau di Sabah, bersama enam paket plastik dadah jenis syabu dengan anggaran berat dua kilogram (kg).

Ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun itu cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di kawasan berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Difahamkan, keseluruhan rampasan dadah seberat 2,162 gram itu bernilai RM120,000.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang menaiki kenderaan jenis Proton Satria Neo sebelum itu dilihat membuat pusingan-U dan memecut laju bagi melarikan diri.

Pun begitu, suspek yang juga seorang penganggur berjaya ditahan selepas dikejar beberapa kilometer dari kawasan sekatan.

"Pemeriksaan awal terhadap suspek menjumpai bungkusan plastik di dalamnya mengandungi empat plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

"Seterusnya pemeriksaan lanjut pihak polis di dalam kereta terbabit turut menemukan kotak yang di dalamnya mengandungi dua bungkusan plastik hijau iaitu bahan hablur jernih mampat disyaki dadah jenis sama (syabu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada Jumaat.

Jasmin berkata siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2016.

"Pihak polis percaya dadah yang dirampas daripada suspek ini adalah untuk pasaran tempatan dan kita sedang giat menjalankan usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah yang terbabit.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 sehingga 14 September depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah Tawau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain