NOMBOR Pendaftaran Istimewa M1M menerima bidaan tertinggi berjumlah RM622,000 yang ditawarkan untuk bidaan terbuka sempena Hari Kebangsaan 2023. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, siri NPI M_M merupakan singkatan kepada 'Malaysia Merdeka' itu keseluruhannya berjaya mengutip lebih RM20 juta bermula 31 Ogos hingga 4 September. "Nombor M1M menerima lima bidaan di mana bidaan tertinggi berjumlah RM622,000 manakala M5M berada ditempat kedua(RM500,000), M8M (RM450,000), M9M (RM402,004) dan M6M (RM350,000). "Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah 25,033 orang dan 6,872 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing," kata kenyataan pada Jumaat. Menurut JPJ, siri tersebut menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2023. Katanya, lima nombor menerima bidaan tertinggi adalah M101M sebanyak 39 bidaan, M155M (33), M51M (32), M313M (31), M39M (28). "JPJ ingin mengucapkan tahniah kepada para pembida yang menerima keputusan rasmi pada 5 September lalu dan terima kasih juga kepada semua pengguna yang menyertai bidaan ini melalui sistem JPJeBid. "Bidaan JPJeBid ini adalah usaha jelas JPJ dalam menyediakan perkhidmatan secara digital kepada rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube