suria

Kembali 'normal' apabila di rumah, kakak nafi adik jadi mangsa pukau - "Pakaian masih sama macam dia hilang"

Lily dijumpai dalam keadaan selamat di hentian bas Ayer Hitam.

REMAJA perempuan Dinna Ismalaily Suhaidi, 15, atau Lily yang dilaporkan hilang sejak 25 Ogos lalu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan selepas dijumpai di perhentian bas Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, pukul 9.26 malam, Khamis.

Bagaimanapun, kakaknya, Dialiesa Irdina, 18, memaklumkan keadaan Lily pada masa ini stabil tetapi dibawa untuk pemeriksaan lanjut kerana bimbang trauma dengan situasi yang dialami.

"Orang awam jumpa dia dekat perhentian bas di Ayer Hitam. Kami dihubungi melalui WhatsApp.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulang la Lily... 13 hari tak balik rumah, kakak rayu adik kembali! Tak sanggup tengok mak ayah naik motor redah hujan cari anak gadis

"Semasa jumpa, dia berada dalam keadaan blur dan tak ingat apa-apa... Lily pun baru saja dibawa ke hospital hari ini (Jumaat)," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya lagi, Lily diambil oleh ibu dan bapanya selepas mendapat perkhabaran gembira tersebut.

Walaupun mengenali ibu dan bapa ketika ditemui, dia enggan bercerita tentang kejadian yang berlaku sebaliknya hanya menyatakan 'tidak tahu' meskipun ditanya pelbagai soalan.

Tambah Dialiesa, adiknya masih memakai pakaian yang sama seperti kali terakhir dilihat sebelum dilaporkan hilang.

Dia juga menafikan kemungkinan Lily menjadi mangsa pukau kerana keadaan adiknya itu kembali seperti biasa apabila tiba di rumah.

"Kalau ikut pendapat saya, mungkin tidak (dipukau) sebab apabila dekat sana dia cakap tak tahu seakan blur dengan keadaan dan mungkin takut orang marah.

"Apabila balik ke rumah, dia back to normal... boleh bercakap dan makan tapi masih tertutup lagi (enggan bercerita)," tambahnya.

Dalam pada itu, Dialiesa dan keluarga sekeluarga menzahirkan rasa syukur kerana Lily akhirnya ditemui dalam keadaan selamat.

Sebelum ini mStar melaporkan Dinna Ismalaily yang berasal dari Kluang hilang sejak 25 Ogos lalu.

Sejak itu, keluarganya tidak pernah berputus asa untuk keluar mencari anak mereka dengan hanya menaiki motosikal berpuluh-puluh kilometer dari rumah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain