PEMANDU treler dalam nahas 14 kenderaan yang mengorbankan dua nyawa di Putrajaya pada 20 September lalu mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin. Tertuduh, Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar. Muhammad Izzatul didakwa dengan kesalahan memandu secara berbahaya mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133). ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan berhenti bagi laluan konvoi, tiba-tiba treler rempuh belakang! Dua maut, 7 cedera kemalangan di Putrajaya Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000. Aima Nabila turut menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Oktober depan. Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai. Menurut siasatan awal pihak polis, pemandu treler itu mendakwa tidak sempat memberhentikan kenderaan ketika melalui jalan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya. Hasil semakan polis, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif. Dalam kemalangan 10.15 pagi itu, treler berkenaan merempuh barisan kenderaan yang sedang berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi polis menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang maut dikenali Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, penjawat awam di Mahkamah Ampang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube