PROGRAM Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) wajar dimanfaatkan oleh pembayar cukai di negara ini. Berteraskan konsep A.E.S (Awareness, Education, Services), program ini memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka. Pelaksanaan ini sekali gus dapat menggalakkan pembayar cukai untuk melaporkan pendapatan yang sepatutnya dalam tempoh pelaksanaan secara sukarela. Bagi yang masih tertanya-tanya tentang PKPS 2.0, ia layak disertai oleh mereka yang mempunyai pendapatan yang tidak pernah dilaporkan atau kurang dilaporkan, perbelanjaan atau tuntutan terlebih tuntut atau tidak dibenarkan. Selain itu, ia juga layak disertai oleh pembayar cukai yang mempunyai pelepasan/ potongan atau rebat terlebih tuntut dan elaun modal/ insentif terlebih tuntut. Program ini ditawarkan ke atas semua kategori pembayar cukai kecuali kategori fail majikan sahaja. PKPS 2.0 juga boleh disertai mereka yang ingin melaporkan pelupusan aset dan membuat penyeteman dokumen atau perjanjian yang tidak disetem dalam tempoh dibenarkan. Pembayar cukai bakal menikmati tawaran penalti pada kadar 0 peratus bagi pendapatan yang dilaporkan menerusi PKPS 2.0. Ia turut memfokuskan penyertaan pembayar cukai baharu selaras dengan pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) mulai tahun 2023 yang mana seramai 7.8 juta individu warganegara dan pemastautin tetap diberikan TIN secara automatik. Taksiran ke atas pengakuan melibatkan tahun ke belakang Taksiran ke atas pembayar cukai baharu yang telah memulakan perniagaan atau mempunyai pendapatan dibuat bagi tahun taksiran 2022 dan ke belakang. Taksiran ke atas pembayar cukai sedia ada pula dibuat bagi tahun 2021 dan ke belakang bagi yang pernah melaporkan pendapatan kepada HASiL tetapi tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). Manakala, mereka yang pernah melaporkan pendapatan kepada HASiL dan mempunyai pendapatan atau pendapatan tambahan yang tidak dilaporkan ditaksir bagi tahun 2021 dan ke belakang. Pengakuan juga boleh dibuat oleh mereka yang tidak melaporkan pelupusan aset bagi tahun taksiran 2022 dan ke belakang. Bagi pembayar duti, PKPS 2.0 boleh disertai sekiranya mereka mengemukakan dokumen atau perjanjian yang ditandatangani pada atau sebelum 1 Mei 2023 untuk penyeteman mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024. PKPS 2.0 dibuka sehingga 31 Mei 2024. Semua pengakuan sukarela bagi pendapatan tahun ke belakang akan ditaksir berdasarkan tahun taksiran yang sepatutnya seperti diperuntukkan di bawah undang-undang percukaian. Bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) pula, pengakuan sukarela atas pelaporan pelupusan aset tahun ke belakang ditaksir berdasarkan tahun taksiran aset tersebut dilupuskan. Tiada audit, tiada penalti Bagaikan satu kelegaan buat pembayar cukai, sepanjang tempoh PKPS 2.0, HASiL menerima maklumat pengakuan sukarela dengan suci hati. Ini bermakna tiada tindakan audit atau siasatan akan dilakukan pada masa hadapan. Namun, tindakan audit atau siasatan boleh diambil bagi tahun taksiran terlibat sekiranya gagal melunaskan bayaran cukai dalam tempoh masa ditetapkan. Antara lain, pembayar cukai bakal menikmati tawaran penalti pada kadar 0 peratus bagi pendapatan yang dilaporkan menerusi PKPS 2.0. Bagi duti setem pula, tawaran pengecualian pengenaan penalti sepenuhnya ke atas mana-mana dokumen atau perjanjian yang ditandatangani pada atau sebelum 1 Mei 2023 dan masih belum disetemkan. Permohonan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja Tanpa perlu menunggu lama, permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat kelayakan akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan. PKPS 2.0 memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka. Walau bagaimanapun, 30 hari bekerja diambil bagi memproses permohonan melibatkan isu harga pindahan. Surat penyelesaian juga akan dikeluarkan bersama-sama notis taksiran/ taksiran tambahan bagi pengakuan yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan. Sertai PKPS 2.0 secara dalam talian Bagi pembayar cukai yang mahu memanfaatkan peluang ini, pengakuan sukarela boleh dibuat sehingga 31 Mei 2024 menerusi mytax.hasil.gov.my menggunakan BNCP bagi tahun-tahun taksiran terlibat. BNCP yang tidak boleh diakses perlu dikemukakan secara manual ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail pembayar cukai atau ke Pejabat HASiL berhampiran. BNCP manual termasuk Borang Pengakuan Sukarela Bagi Kes Harga Pindahan boleh dimuat turun dan dicetak dari Portal Rasmi HASiL. Bagi pembayar duti, dokumen/ perjanjian perlu dikemukakan melalui Sistem Taksiran Dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) untuk proses penyeteman. Bayaran cukai dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis Bayaran cukai boleh dibuat sekali gus dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis atau secara ansuran sehingga 31 Mei 2024 berdasarkan aturan bayaran ansuran yang dipersetujui tanpa mengemukakan dokumen sokongan. Permohonan aturan bayaran ansuran perlu dikemukakan melalui Pautan PKPS 2.0 di Portal Rasmi HASiL atau MyTax menggunakan Borang Permohonan Bayaran Ansuran PKPS 2.0. Perlu diingatkan bahawa tindakan undang-undang dan audit boleh diambil pada masa hadapan jika tunggakan cukai tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan. Oleh itu, mohon bayaran ansuran sekarang bagi mengurangkan komitmen bulanan. Pendapatan diterima atau disimpan di luar negara tertakluk cukai Pembayar cukai harus tahu bahawa pendapatan diperoleh atau terbit dari Malaysia yang disimpan dalam akaun bank di luar negara masih tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia. Sekiranya pendapatan tersebut belum dilaporkan, laporkannya menerusi PKPS 2.0 berdasarkan tahun taksiran ianya diperoleh dan tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan. Pendapatan luar negara yang diterima di Malaysia oleh pemastautin juga tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia mulai 1 Januari 2022. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian cukai diberikan berhubung pendapatan tersebut yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Sertai PKPS 2.0 sekarang! Jadi tunggu apa lagi? Sertai PKPS 2.0 sekarang! Jom rebut tawaran lunas cukai tanpa penalti. Sertai PKPS 2.0 sekarang sehingga 31 Mei 2024 menerusi Portal MyTax di mytax.hasil.gov.my atau melalui pautan PKPS 2.0 di www.hasil.gov.my. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube