suria

[V] mStar terus kukuh sambut Sweet-18, lancar ‘mStar Baek’

SELEPAS 18 tahun menghidangkan laporan terkini dan sensasi kepada pembacanya, mStar terus kukuh sebagai portal hiburan dan gaya hidup nombor satu di Malaysia.

Buat julung kalinya, mStar yang menyambut ulang tahunnya yang ke-18 pada tahun ini menganjurkan majlis keraian dan kesyukuran yang dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis dan pempengaruh media sosial.

Menjadikan majlis yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor ini penuh bermakna apabila ikon seni negara, Datuk Aznil Nawawi turut sudi hadir bagi menandatangani plaque simbolik ulang tahun ke-18 mStar.

Turut turun padang, Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star, Esther Ng.

Majlis ini ternyata meninggalkan memori indah apabila diserikan dengan persembahan artis-artis veteran seperti Zaiton Sameon, Ibnor Riza, Ruhil Amani Husin dan Haiza.

Zaiton Sameon. walaupun sudah mencecah usia 66 tahun membuktikan keupayaannya apabila masih mampu melantunkan lagu popularnya, Menaruh Harapan dengan begitu baik sekali gus membuatkan semua tetamu kagum.

Begitu juga dengan Ibnor Riza yang menyentuh hati hadirin dengan suara lunaknya ketika menyampaikan lagu nostalgia Mimpi Yang Tak Sudah serta Ruhil yang masih 'berbisa' menyampaikan lagi popularnya Kawan.

Datuk Haji Aznil Nawawi menandatangani plaque pelancaran sambutan ulang tahun ke-18 mStar sambil diperhatikan Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star, Esther Ng dan Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah.

Menerusi majlis ini, mStar turut mengambil kesempatan melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mStar Baek yang mendapat tajaan dan sokongan penuh Noir Health & Beauty.

Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah berkata mStar Baek secara amnya bertujuan untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan terutamanya golongan artis.

“Pengenalan mStar Baek ini tercetus selepas melihat penggiat seni dilanda kesusahan ujian hidup.

“Golongan ini seakan-akan tidak dipedulikan lagi sedangkan mereka pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.

“Oleh itu, mStar selaku portal hiburan berasa bertanggungjawab untuk membantu golongan ini menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR),” kata Niezam.

Banyak yang saya pelajari apabila jumpa artis-artis ini, dalam hidup kita ni tak boleh fikir untuk selalu berada di atas.

MADAMMU

Antara barisan artis yang menerima sumbangan daripada Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu.

Program mStar Baek yang berbentuk video 10 episod akan bersiaran pada setiap Khamis bermula 5 Oktober 2023 di portal mStar serta semua platform media sosialnya termasuk YouTube dan Facebook.

Tambah Niezam lagi, mStar bersama Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu atau nama sebenarnya Eriyca Baiduri sudah menyantuni 10 selebriti terpilih untuk menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan lain.

Antara artis yang disantuni dan menerima sumbangan termasuklah Zaiton Sameon, Mak Jah, Bad (Indigo), Mak Wan Latah, Ibnor Riza, Roy (Ratnaku) Wan Maimunah, Alina Hassan dan Izwan Fitri.

"Kami percaya, ramai lagi penggiat seni yang diuji dengan pelbagai cabaran hidup dan berharap program mStar Baek ini mampu menjadi plaftorm dalam membantu golongan ini dengan kerjasama pihak-pihak tertentu yang bersedia bekerjasama menjadi penaja,” katanya.

Pelancaran mStar Baek dimeriahkan dengan kehadiran artis veteran, pempengaruh dan penaja Noir Health & Beauty.

Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu pula berkata, kolaborasi bersama mStar bertepatan dengan objektifnya dalam membantu golongan memerlukan.

“Saya rasa peluang ini tak boleh saya lepaskan kerana kami di Noir sentiasa mengadakan CSR untuk membantu mereka yang perlukan bantuan dan yang perlu dibantu.

“Jadi apabila mendapat tahu tentang projek mStar Baek, saya rasa objektif kami sama dan saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan mStar untuk program ini," katanya.

Barisan artis veteran menerima sumbangan daripada Eskayvie.

Tambah usahawan berusia 34 tahun itu, keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan dirinya berasa terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan rakan selebriti yang memerlukan.

“Kalau tengok pada ekonomi sekarang ramai yang terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku. Jadi saya rasa ini peluang yang patut saya ambil dan perlu sentiasa beringat dalam rezeki kita ada rezeki orang lain," katanya.

Tambahnya lagi, keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan dirinya berasa terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan rakan selebriti yang memerlukan.

“Mengapa tidak jika kita mahu berkongsi rezeki. Jadi bila ada platform seperti mStar Baek ini saya rasa sangat sesuai untuk Noir berkolaborasi dan laksanakan tanggungjawab kita untuk bantu orang lain," ujarnya.

Sumbangan diberikan oleh wakil Bernas kepada artis veteran yang menghadiri majlis pelancaran mStar Baek.

Madammu turut mengakui berasa terharu mendengar sendiri cerita dan pengalaman artis-artis yang dibantu dalam segmen mStar Baek apabila bertemu mereka ketika menjalani penggambaran.

“Perasaan saya sangat terharu, contohnya kisah Zaiton Sameon di mana kita tahu beliau dahulunya berada di kemuncak dalam kerjayanya dan kita tak jangka secara tiba-tiba semuanya berubah.

“Jadi bila saya turut sama pergi jumpa artis-artis ini banyak yang saya pelajari, dalam hidup kita ni tak boleh sentiasa berfikir selalu berada di atas ada kalanya kita berada di bawah juga.

“Banyak perkara yang saya ambil dan jadikan muhasabah diri untuk tidak sentiasa melihat ke atas ada waktu perlu lihat di bawah," jelasnya.

Selain sumbangan wang tunai dan barangan lain daripada Noir, para selebriti terlibat turut mendapat sumbangan berupa barangan keperluan asas daripada Bernas seperti beras dari Jasmine, tepung (Era) dan gula (CSR) serta barangan kesihatan daripada Eskayvie.

Tetamu lain yang turut hadir dalam majlis sambutan ulang tahun ke-18 mStar termasuklah Rhys William, DJ Lin, Auntie Purple, Dr Samhan, Queen Sayang dan ramai lagi.

Ditubuhkan pada tahun 2005, mStar kini menghampiri usia dua dekad sebagai portal hiburan dan gaya hidup terulung.

Dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 18 tahun lalu, mStar pada hari ini akan menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari kandungan hiburan, viral dan sensasi.

Banyak kejayaan yang berjaya dilakar jenama ini, antaranya memecah rekod purata paparan halaman sebanyak 20 juta dengan 8 juta pelawat unik sebulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain