suria

Golongan artis juga banyak berjasa, Bernas turut beri sumbangan kepada selebriti veteran dalam mStar Baek

Wakil Bernas menyampaikan sumbangan kepada selebriti veteran sempena pelancaran program mStar Baek, pada Selasa. -Gambar Faihan Ghani/The Star

SEBAGAI salah sebuah syarikat korporat terkemuka, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) tidak pernah ketinggalan dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

Tidak terkecuali, golongan artis veteran yang terkesan turut mendapat perhatian syarikat pengeluar bahan asas ini.

Menurut Ketua Bahagian Penjenamaan dan Pembangunan Produk Bernas, Farhan Hafetz, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyokong mStar Baek, sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu.

"Kita sebagai pengeluar bahan asas sedar memang ramai pihak memerlukan bantuan sekarang. Tapi bila mStar datang kepada kita untuk menyampaikan sumbangan bersasar kepada artis veteran, memang kita terus bersetuju.

"Mereka (artis) pun ada sumbangannya kepada masyarakat, jadi kita rasa sesuai untuk bekerjasama," ujar beliau ketika hadir ke Majlis Ulang Tahun ke-18 mStar dan pelancaran program mStar Baek pada Selasa.

mstar baek

Sekitar majlis pelancaran mStar Baek dan Majlis Ulang Tahun ke-18 mStar, pada Selasa. -Gambar Faihan Ghani/The Star

Berlangsung meriah di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor, majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan artis dan pempengaruh media sosial.

Tambah Farhan Hafetz, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat memberi sumbangan untuk program mStar Baek bersama penaja utamanya Noir Health & Beauty yang diasaskan oleh Eriyca Baiduri atau lebih mesra dengan panggilan Madammu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah terserempak Zaiton Sameon jalan kaki, hajat Madammu nak bantu termakbul... Hati tersentuh lihat kepayahan selebriti veteran

"Bila buat program sebegini, kita berharap ia lebih mendapat pendedahan. Bila lebih ramai yang nampak, secara tidak langsung boleh mencetuskan kesedaran kepada pihak lain.

"Moga kita sebagai rakyat Malaysia terbuka untuk saling bantu membantu... bukan sahaja daripada Bernas dan syarikat lain tetapi orang perseorangan dan sebagainya.

"Sekarang, ramai yang tertekan dan memerlukan bantuan justeru saya harap semakin ramai yang membantu di masa hadapan," ujar Farhan Hafetz sambil menambah, pihaknya sentiasa terbuka untuk meneruskan kerjasama bersama mStar pada masa hadapan.

Menyifatkan mStar Baek sebagai inisiatif yang patut dicontohi oleh media lain, Farhan menambah pihaknya mengharapkan agar ia bukan sekadar program 'one-off' kerana dilihat mampu memberi impak positif kepada ramai pihak.

bernas 1

Bernas berbesar hati menjadi sebahagian penaja untuk program mStar Baek. -Gambar Shaari Che Mat/The Star

"Program ini sangat bagus dan moga ia berterusan pada masa hadapan...tidak sekadar one-off. Mudah-mudahan dapat diluaskan lagi penerima bantuan dan kami berharap syarikat korporat lain untuk sama-sama turut serta," katanya.

mStar Baek merupakan program yang membantu barisan selebriti yang melalui fasa sukar dalam kehidupan, sedangkan mereka sebelum ini adalah insan yang banyak menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.

Antara artis yang disantuni dan menerima sumbangan termasuklah Zaiton Sameon, Mak Jah, Bad (Indigo), Mak Wan Latah, Ibnor Riza, Roy (Ratnaku) Wan Maimunah, Alina Hassan dan Izwan Fitri.

Untuk program tersebut, Bernas memberi sumbangan berupa beras dari Jasmine, tepung (Era) dan gula (CSR).

Selain itu, artis terlibat turut mendapat sumbangan berupa barangan kesihatan daripada Eskayvie, serta wang tunai selain set penjagaan kecantikan daripada Noir Health & Beauty.

Program mStar Baek yang berbentuk video 10 episod akan bersiaran pada setiap Khamis bermula 5 Oktober 2023 di portal mStar serta semua platform media sosialnya termasuk YouTube dan Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain