suria

Laungan Allahuakbar bergema di Axiata Arena... Rakyat pelbagai kaum tunjuk kemarahan terhadap Israel

Rakyat Malaysia menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Selasa malam.

MEREMANG bulu roma!

Begitulah gambaran semangat rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama yang menghadiri Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin, Selasa malam bagi membantah kezaliman rejim Zionis sekali gus menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Laungan takbir 'Allahuakbar' dan 'Israel Cuak' berkali-kali bergema di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil yang dihadiri ribuan peserta menunjukkan betapa rakyat Malaysia bersatu hati menentang kekejaman tentera Israel ke atas Gaza.

Kehadiran dan semangat yang ditunjukkan oleh peserta juga seolah-olah meredakan kemarahan orang ramai terhadap penganjuran perhimpunan 'Freedom for Palestine' pada Ahad, di mana peserta dilarang melaungkan takbir dan tidak dibenarkan memaparkan poster mengutuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Acara yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini turut menyaksikan peserta himpunan bebas membawa dan mengangkat sebarang jenis plakad termasuk yang menunjukkan kemarahan terhadap Israel.

Menerusi himpunan ini juga,barisan pemimpin dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggunakan pentas untuk berucap serta mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman yang berlaku di Palestin.

Paling penting masing-masing tidak lupa meminta supaya seluruh rakyat Malaysia memanjatkan doa kepada Allah supaya sentiasa melindungi rakyat dan saudara Islam di Palestin.

Perhimpunan ini juga menyaksikan golongan muda turut bersemangat apabila ada yang turun padang seawal pukul 5.30 petang.

Kebanyakannya berpakaian serba putih bersama mafla dan bendera Palestin.

Selain solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan munajat perdana turut diadakan selain peserta dihiburkan dengan persembahan artis serta gimik persembahan puisi oleh Fedtri Yahya.

Qunut Nazilah turut dibaca selepas ucapan daripada Perdana Menteri.

Himpunan berakhir dengan persembahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain