suria

Malaysia nyata pendirian, sedia sokong negara Timur Tengah pertahan hak rakyat Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan memberi sokongan penuh sekiranya negara-negara Arab bergerak ke hadapan dan mempertahankan bumi Palestin.

Menerusi ucapan pada Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin, beliau menyatakan pendirian tersebut kepada semua pemimpin negara di Timur Tengah.

"Dalam sejarah Malaysia, selalunya kita hanya membuat kenyataan dari jauh. Inilah kali pertama, melihat kepada semangat denyut nadi anak-anak Malaysia... saya ambil keputusan untuk keliling dunia Arab nyatakan pendirian kita.

"Putera Mohammad bin Salman mengundang saya untuk lawatan sehari bagi bicara hati ke hati dan tajuk utama adalah Gaza.

"Saya bagitahu Putera Mohamad bin Salman, Arab Saudi harus gerak ke depan pertahankan dan kami bersama memberi sokongan yang padu supaya ada suara tegas pertahankan hak rakyat Palestin dan kemanusiaan bagi rakyat Gaza," ujarnya.

Menerusi perjumpaan bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan selama dua jam pula, perdana menteri turut berbincang tentang tindakan yang boleh diambil.

"Di Riyadh saya sempat bincang ringkas dengan Emir Qatar (Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani) kerana beliau antara yang kedepan mempertahankan hak bumi Palestin.

"Saya bincang dengan Sheikh Mohamad Bin Zaid, Emerat menyatakan kami dari jauh... tetapi saudara-saudara beritahu biar kita sepakat, kali ini dunia Islam jangan kelihatan lesu. Mesti bangkit pertahankan hak bumi Palestin.

"Saya sempat bertemu Raja Bahrain, menyatakan sikap yang sama... dari Riyadh saya berlepas ke Instabul bertemu Erdogan, dua jam dengan dia bincang teliti apa langkah harus diambil dan sikap bersama berdepan dengan Amerika dan Eropah yang sama sekali tidak pedulikan soal kemanusiaan," tegas Perdana Menteri.

Berkata lanjut, Anwar menyatakan susulan daripada perbincangan yang dibuat itu, pemimpin tertinggi negara Islam berkenaan memberi penghormatan tertinggi pada Malaysia.

"Natijah daripada perbincangan ini semua, saya sangat terharu... belum berlaku dalam sejarah negara kita yang mana wakil negara ini terjun terus di rantau Arab, Iran dan Gaza untuk bicang dengan tokoh-tokoh ini.

"Semua bagi penghormatan yang sangat tinggi kepada Malaysia, maknanya mereka mengharapkan kita berbuat sesuatu yang lebih bukan sahaja menyerahkan pada isu Arab tetapi isu Islam dan masyarakat," ujar beliau.

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tampil ke hadapan dan menunjukkan solidariti sokongan kepada Palestin.

"Untuk saya, saya wajib sampaikan juga... tetapi untuk rakyat inilah caranya, rakyat bangkit "Allahuakhbar" kerana kita yakin dan jangan lupa," tambah beliau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain