suria

Rakyat Malaysia kritik Arab Saudi umpama dunia akhir zaman benarkan pelacuran, jual arak kena pecat dan ditahan pihak berkuasa

Ciapan pemuda itu yang tular di laman X.

PERSONALITI dakwah Ustaz Ad-Dien mendedahkan seorang rakyat Malaysia kini sedang ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi gara-gara mengkritik negara itu menerusi media sosial.

Dalam ciapan di laman X pada Isnin, Ustaz Ad-Dien turut membuat pautan kepada akaun rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Wisma Putra untuk memaklumkan dan meminta bantuan mereka untuk campur tangan dan membantu berkaitan kes ini.

"Tuan Saifuddin Amri, rakyat Malaysia kita ditahan/di penjara di Arab Saudi sekarang. Mohon bantuan kerajaan untuk berunding atau bantu apa yang patut.

"Setidaknya bawa pulang beliau sekeluarga dengan selamat. Tolong @anwaribrahim, @MalaysiaMFA, @ZambryOfficial," ciap Ustaz Ad-Dien kepada hampir 80,000 pengikutnya.

Terdahulu, tular hantaran di laman X dipercayai dibuat oleh individu yang bekerja di negara berkenaan bernama Saifuddin Amri mengkritik kerajaan Arab Saudi.

Dalam ciapan itu, dia menyifatkan Arab Saudi seperti dunia akhir zaman yang mana gejala pelacuran dan penjualan arak turut berlaku dalam pasaran gelap berdasarkan kepada pemerhatiannya sejak bekerja di negara berkenaan.

Dia juga mendakwa kebanyakan ustaz di negara itu merupakan golongan Madkhalis iaitu taat kepada pemerintah tanpa mengira ia adil atau zalim, baik atau buruk.

Tangkap layar ciapan Saifuddin Amri turut dikongsi oleh Ustaz Ad-Dien, namun ia telah dipadam atas permintaan keluarga Saifuddin.

"Saya padam tweet ini atas permintaan ahli keluarga beliau. Beliau ditahan oleh kerajaan Saudi sejak semalam (Ahad). Mohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia supaya beliau sekeluarga dibebaskan segera, selamat dan dapat pulang dengan aman. Mohon doakan tuan Saifuddin Amri sekeluarga," ujar Ustaz Ad-Dien lagi.

Terdahulu, turut tersebar satu hantaran di laman X yang mendakwa warga Malaysia itu ditamatkan khidmatnya sebagai sub kontraktor kerana kelantangannya bersuara dan mengkritik tentang pemerintahan kerajaan Arab Saudi di media sosial.

Pihak berkuasa negara itu mengamalkan peraturan dengan melarang mana-mana pihak agar tidak mengkritik kepimpinan kerajaan kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan.

Sebelum ini Mahkamah Rayuan Arab Saudi telah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun keatas bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka , Sheikh Saleh Al Talib selepas didakwa menyampaikan khutbah yang mengkritik dan mengecam konsert serta acara hiburan yang diperkenalkan di negara itu kerana ia menyimpang daripada norma agama dan budaya mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain