suria

‘Healing’ masak mi segera di stesen minyak... 4 mengaku salah, didenda RM500

Empat individu dihadapkan ke Mahkamah Bentong, atas pertuduhan mendatangkan bahaya kepada orang lain. -Foto Sinar Harian

PADAH 'berkelah' sambil memasak mi segera di sebuah stesen minyak, empat individu dihadapkan ke Mahkamah Bentong pada Selasa.

Keempat-empat mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut kerana mendatangkan bahaya kepada orang lain.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh iaitu Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24; Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24; Nur Anis Salleh, 24; dan Nur Azira Azman, 23, didakwa memasak menggunakan dapur gas dalam kawasan stesen minyak di Taman Cendawan, Genting Highlands, kira-kira pukul 1.30 pagi pada 12 Mei lalu.

Tangkap layar merakamkan sekumpulan anak muda memasak mi segera di stesen minyak.

Tangkap layar merakamkan sekumpulan anak muda memasak mi segera di stesen minyak.

Majistret Nadhratun Naiem Zainan mengarahkan semua tertuduh termasuk seorang pembantu pergigian dan ejen hartanah membayar denda RM500.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng kelab kereta H healing sakan! Berkelah, masak di stesen minyak... Halang laluan, sempat berfoto kenang-kenangan

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

mStar pada 13 Mei lalu melaporkan mengenai video yang tular di media sosial sekumpulan anak muda 'berkelah' di sebuah stesen minyak.

Tindakan mereka memasak menggunakan dapur gas di kawasan mudah terbakar menjadi pertikaian dan kecaman ramai.

Susulan itu, polis menahan 15 individu berkaitan kes tular yang dipercayai melakukan aktiviti tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, penahanan itu membabitkan 10 lelaki dan lima wanita selepas mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada Sabtu lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain