PERBICARAAN kes gangguan seksual melibatkan pendakwah Ebit Lew diteruskan dengan kehadiran saksi pendakwaan kesembilan di Mahkamah Majistret Tenom pada Selasa. Menurut saksi itu, Ebit atau Ebit Irawan Ibrahim Lew menghantar kira-kira 70 mesej WhatsApp berunsur lucah kepadanya pada 19 April 2021. Hantaran mesej itu berlaku antara pukul 10.57 malam sehingga 12 tengah malam. Menurut saksi lagi, ayat-ayat lucah dan memuji dalam mesej itu, mengaibkan kehormatannya, apatah lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan. Menurut saksi, mesej yang dihantar Ebit bertentangan dengan imej yang dipamerkannya kepada umum apabila dia sering menggelarkan isterinya sebagai bidadari. ARTIKEL BERKAITAN: Saksi beritahu Ebit Lew buat video call dalam keadaan tidak berbaju "Tapi apabila dia mesej macam tu, seolah-olah dia anggap perempuan ni hanya tujuan seks semata-mata," ujarnya. Saksi yang juga pengadu kes memaklumkan hal itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria. Untuk rekod, pendakwah berusia 38 tahun itu berdepan 11 pertuduhan, termasuk mengaibkan saksi dengan menghantar kata-kata dan gambar lucah kepada wanita itu di Whatsapp dari Mac hingga Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube