suria

Pelajar Malaysia kongsi detik cemas dalam pesawat Singapore Airlines, pakai ‘seatbelt’ ketika gegaran awal

Penumpang berdepan detik cemas apabila penerbangan dilanda gelora udara. -Foto X

SEORANG penumpang dari Malaysia berkongsi detik cemas apabila penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow di London berdepan gelora udara (turbulent) kuat.

Dzafran Azmir berkata, kejadian pada petang Selasa itu berlaku kira-kira tiga jam sebelum pesawat mendarat di Singapura yang mana dia sempat merasakan pesawat tidak stabil sebelum mula bergegar.

Menurut pelajar berusia 28 tahun itu, dia menguatkan diri dan memastikan tali pinggang keselamatan dipakai tetapi melihat ramai penumpang lain tidak melakukannya.

"Pesawat menjunam secara tiba-tiba sehingga mereka yang duduk dan tidak memakai tali pinggang keledar tercampak (melambung) ke bahagian siling pesawat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang umur 73 tahun maut dalam penerbangan Singapore Airlines, tercampak akibat gelora udara

"Ada yang terhantuk kepala di kabin bagasi sehingga bahagian itu kemek. Mereka turut tercampak ke ruang-ruang lain, terdapat lampu serta topeng oksigen terkeluar dan pecah..

"Telefon bimbit saya terlepas jauh dari genggaman dengan barangan lain seperti kasut turut berselerak akibat gangguan itu," katanya.

Akibat insiden itu, seorang penumpang warga Britain maut manakala 71 yang lain cedera selepas kapal terbang itu melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand.

Penumpang yang meninggal dunia bersama yang cedera dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok, dengan beberapa mangsa menjalani pembedahan pada malam Selasa.

Enam cedera parah, 39 separa kritikal dan 26 lagi cedera ringan, menurut hospital.

Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri Malaysia, sembilan daripada 16 rakyat Malaysia cedera termasuk seorang anak kapal dalam penerbangan tersebut.

Keadaan di dalam pesawat selepas penerbangan SIA berdepan kejadian gelora udara. -Foto X

"Kru dan individu yang berada di dalam tandas merupakan mereka yang paling terkesan kerana setelah pendaratan dibuat, kami dapati mereka tidak dapat bangun,ramai yang cedera di kepala dan tulang belakang.

"Kapten memaklumkan penumpang yang dia melakukan pendaratan kecemasan di Bangkok. Sebaik pesawat tiba di landasan, jururawat dan penyelamat datang untuk memeriksa dan memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera," katanya.

Tambahnya lagi, dia melihat lapan mangsa diusung keluar menggunakan pengusung (strecher) melalui pintu kecemasan.

"Saya tidak rasa mereka menjangka betapa teruknya keadaan. Proses untuk memindahkan penumpang mengambil masa 90 minit," kata Dzafran. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain