suria

Adegan berbalas tembakan di jalan raya, 2 penjenayah maut ditembak polis

Tangkap layar kejadian yang berlaku di Jalan Abad, Johor pada Jumaat.

DUA penjenayah maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Abad, Johor Bahru, Johor pada petang Jumaat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam insiden pukul 5.04 petang itu, seorang suspek berusia 42 tahun disahkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya yang berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka.

Jelas Kumar, siasatan awal mendapati suspek maut berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah membabitkan dadah manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

"Insiden berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

"Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek. Kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut terkena tembakan dan meninggal dunia.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden berbalas tembakan itu yang mengejutkan penduduk setempat dan video anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh selepas Jalan Abad.

Susulan kejadian, Kumar berkata polis turut menjumpai dua pistol di dalam kenderaan itu dan sepucuk pistol pada badan seorang daripada suspek.

Dalam pada itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah dalam kenderaan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain