POLIS menerima dua laporan berhubung penyebaran maklumat yang didakwa sebagai fakta siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis berkenaan masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pembunuhan itu pada Jumaat. "Siasatan lanjut berkaitan kes masih dijalankan dan yang saya boleh sahkan setakat ini adalah dua laporan telah dibuat. "Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada Sabtu. Tambahnya, orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. "Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah. "Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati berkongsi kandungan berkenaan," katanya. Susulan itu, pihak polis bakal mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menurunkan tangkap layar berkenaan. Sejak Khamis, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa maklumat siasatan kes Zayn Rayyan sehingga mencetuskan kegusaran orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan kes kanak-kanak terbabit. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube