SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti beberapa pengendali platform media sosial yang membocorkan maklumat didakwa fakta kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin. Dalam satu kenyataan pada Sabtu, SKMM berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada TikTok dan Telegram untuk menurunkan hantaran terbabit. "Berkongsi atau menyebarkan maklumat yang didakwa fakta kes adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu perbicaraan. "SKMM mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih atau palsu," ujarnya dalam kenyataan. Selain itu SKMM turut menasihatkan orang ramai supaya memadam hantaran atau komen yang boleh mengundang spekulasi ke atas perbicaraan kes. ARTIKEL BERKAITAN: Sebar maklumat didakwa fakta kes... Ahli keluarga Zayn Rayyan, pegawai penyiasat buat laporan polis "Berkongsi maklumat yang tidak sahih atau palsu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. "Pesalah boleh dikenakan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," tambahnya. Terdahulu pada Khamis, saluran Telegram dikenali sebagai Edisi Siasat mendedahkan catatan didakwa kertas siasatan kes Zayn Rayyan yang sejak itu mula tular di media sosial. Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata tindakan boleh diambil terhadap mereka yang membocorkan dokumen terbabit kerana ia melibatkan kes mahkamah. Pada 13 Jun lalu, ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh. Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU, Damansara Damai, antara tengah hari pada 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember tahun lalu. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube