suria

Penjawat awam putih mata, 150k lesap! Terjerat ‘Love Scam’ dengan ‘abang pilot’

Seorang ibu tunggal menjadi mangsa 'love scam'. -Gambar hiasan

SEORANG ibu tunggal berusia 51 tahun berputih mata apabila mengalami kerugian RM148,200 selepas terpedaya dengan penipuan 'Love Scam'.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa yang merupakan penjawat awam membuat laporan polis pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa mendakwa menerima mesej di Facebook daripada seseorang yang menggunakan profil bernama Azli Ahmad pada awal bulan ini.

"Individu tersebut menggunakan gambar seorang juruterbang. Mereka kemudian terus berhubung menerusi WhatsApp.

"Suspek kemudian menawarkan penghantaran bungkusan hadiah seperti beg tangan, jam dan kasut serta wang tunai berjumlah AS$10,000 untuk disedekahkan kepada anak yatim," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Zain berkata, pada 14 Jun lalu, mangsa dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai ejen penghantaran dan memaklumkan terdapat masalah untuk menghantar bungkusan.

Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat sejumlah bayaran untuk duti import dan kos penghantaran.

"Dari 14 Jun hingga Sabtu, mangsa membuat 23 transaksi bayaran ke pelbagai akaun dengan jumlah keseluruhan RM148,200," katanya.

Malah katanya, mangsa juga diugut untuk membuat bayaran selepas dikatakan terbabit dengan pelbagai aktiviti jenayah dan akan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran.

"Kerana takut, mangsa mengikut segala arahan sehingga menyedari mengalami kerugian," kata Mohd Zain.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain