suria

Tanah runtuh di Gunung Kinabalu, video banjir lumpur tular di media sosial

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

HUJAN lebat sejak 48 jam lalu menyebabkan tanah runtuh di kaki Gunung Kinabalu pada awal pagi Isnin.

Kejadian pertama dipercayai berlaku kira-kira jam 1.20 pagi, dan banjir lumpur di sebelah gunung itu berlaku pada jam 5 pagi.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata pihaknya tidak menerima laporan kecederaan akibat tanah runtuh yang berlaku di kawasan Ulu Sungai, Mesilau di tanah tinggi Kundasang.

“Ia jauh daripada laluan puncak dan tidak melibatkan sebarang kemalangan yang melibatkan orang ramai atau kerosakan infrastruktur,” katanya ketika dihubungi The Star pada Isnin.

Difahamkan, pihak berkuasa daerah Ranau sedang memantau runtuhan tanah yang jatuh ke dalam sungai Mesilau, mengalir ke sungai Liwagu di mana terletaknya loji pengambilan dan rawatan air daerah itu.

“Kami masih memantau Ulu Sungai Mesilau dan kesannya terhadap aliran sungai. Keadaan terkawal," tambah Maklarin.

g2

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Terdahulu, video tanah runtuh di gunung itu mula tular di media sosial.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai kejadian atau gegaran yang dirasai di kawasan itu sejak sebelum kejadian tanah runtuh.

“Bagaimanapun, kami sedang memantau keadaan selepas menerima video itu. Tanah runtuh dan banjir lumpur kilat tidak menjejaskan kampung berhampiran.

“Tiada akses jalan ke kawasan itu, yang terletak di bawah bidang kuasa Taman Sabah, jadi pemantauan dilakukan menggunakan dron,” katanya.

Sementara itu, setakat pukul 8 pagi Isnin, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara susulan banjir di barat daya daerah Membakut, kira-kira 90km dari sini, meningkat kepada 100 orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah berkata hujan berterusan di Membakut sejak Khamis lepas menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air banjir.

Setakat ini, tujuh titik panas banjir dikenal pasti antaranya Jalan Lembah Poring, Kampung Baitam Baru, Kampung Ulu Baitam, Kampung Lampijas, Kampung Kayai, Kampung Jambatan Baru dan Jalan Balai Polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain