suria

Lelaki dalam video tular mengaku tidak bersalah belasah isteri

Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson.

SEORANG lelaki dalam video tular kerana didakwa menyerang isterinya di sebuah hotel di Port Dickson, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di daerah itu, pada Selasa.

Tertuduh, Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, dia yang merupakan juruteknik, didakwa melakukan kesalahan itu sekitar pukul 9.50 pagi pada 24 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri baru habis pantang dibelasah suami kantoi 'check in' hotel di Port Dickson, polis siasat kes

Dia didakwa mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap isterinya berusia 38 tahun.

Tertuduh boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa, Inspektor Nor Asiah Mahmud kemudian mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Krishnaveni memohon jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM2,500 atas alasan dia hanya bekerja sebagai juruteknik.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Julai ini.

Terdahulu, polis menahan reman suspek pada 21 Jun selepas klip video berhubung dakwaan serangan itu tular.

Sehari sebelum itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, video tersebut tular pada 19 Jun.

Beliau berkata, mangsa cedera di pipi dan sakit di beberapa anggota badan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain