suria

Misteri kehilangan pelajar sejak sebulan lalu terjawab, rangka manusia ditemukan di kebun durian

Rangka manusia ditemuikan di sebuah kebun durian.

KEHILANGAN seorang pelajar sejak sebulan lalu terjawab apabila rangka manusia ditemukan di kawasan semak di kebun durian, berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, dekat Batu Pahat, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ia berdasarkan pengecaman keluarga melalui dokumen dan juga beberapa barangan milik mangsa, Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, penemuan rangka di tepi Jalan Yong Peng-Muar itu diterima daripada orang awam, kira-kira pukul 11.15 pagi.

"Siasatan awal polis di tempat kejadian telah menjumpai sebuah motosikal bersama dokumen diri dan barangan peribadi. Selain itu, terdapat sebuah motosikal yang mengalami kerosakan di lokasi kejadian dan dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Motosikal yang ditunggang mangsa disyaki terbabas ke tepi jalan dan terlanggar sebatang tiang elektrik, menyebabkan mangsa terhumban ke kawasan semak yang agak curam di dalam kebun durian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.

Walau bagaimanapun, Shahrulanuar berkata, pengesahan rasmi identiti rangka yang dijumpai akan disahkan setelah laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) diperolehi.

Jelasnya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan polis.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999," ujarnya.

Difahamkan, remaja berkenaan pergi ke rumah rakannya di Kampung Parit Ju, Tongkang Pechah untuk menonton bola sepak sebelum dilaporkan hilang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain