suria

Seram tengok ular sawa belit motosikal, marah sampai ‘berdiri’ tinggi... Keberanian akak ‘kaki viral’ curi tumpuan

Seekor ular sawa 'berdiri' dekat motosikal. Kelihatan seorang wanita membuat rakaman dari jarak dekat.

MEREMANG bulu roma tonton video, apatah lagi mereka yang menyaksikannya sendiri di depan mata.

Mungkin begitulah detik cemas yang dirasai sekumpulan orang awam yang berdepan dengan seekor ular sawa sedang melilit sebuah motosikal di sebuah persimpangan.

Difahamkan, kejadian pada waktu malam itu berlaku di pekan Manong di Kuala Kangsar, Perak.

Rakaman berdurasi 21 saat itu tidak menyatakan keberadaan pemilik motosikal, dan kenderaan tersebut dilihat berada dalam keadaan terbalik di tengah jalan.

ular berdiri 1

Seekor ular sawa 'membelit' sebuah motosikal.

Kelihatan orang ramai teruja membuat rakaman ular sawa itu yang tidak diketahui dari mana munculnya.

Apa yang lebih menyeramkan apabila ular sawa yang panjang itu dilihat 'berdiri' tinggi dan tegak sebelum beredar dari motosikal tersebut dan cuba melintasi jalan.

Hasil semakan mendapati video tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok @yeoplatip86 pada Mei lalu, sebelum ia tular selepas dikongsi di laman Instagram.

Walaupun beberapa lelaki dilihat berdiri jauh dari lokasi ular yang berada dekat motosikal tersebut, namun kehadiran seorang wanita menjadi perhatian ramai.

Manakan tidak, wanita itu kelihatan berani berjalan mendekati ular sawa tersebut sambil membuat rakaman tanpa mempedulikan risiko dibelit reptilia itu.

Menerusi ruangan komen di Instagram kongsi.viral, rata-rata netizen meluahkan ketakutan mereka melihat ular sawa besar itu berdiri.

Ular sawa itu cuba melintasi jalan di sebuah persimpangan.

"Tingginya kepala dia, naik seram tengok. Dah macam bukan ular sawa.

"Rasanya terserempak kat jalan ni, lepas tu panik punya pasal hempas je motor tu dekat dengan ular sawa ni. Marah betul ular sawa ni sampai tinggi kepala dia naik.

"Macam mana boleh ada ular keluar dari motor? Bukan main besar lagi," demikian antara komen netizen.

Namun pada masa sama, keberanian wanita yang berada dekat ular sawa itu tetap mencuri tumpuan.

"Orang tengah panik, makcik tu elok pula merakam.

"Amboi akak kaki viral. Kena belit baru tahu," kata netizen.

Dalam pada itu, seorang netizen memaklumkan ia merupakan video lama yang kembali tular, namun tidak disahkan bila dan lokasi kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain