suria

Difitnah ucap ‘takziah’ sempena pertabalan Agong, RTM buat laporan polis

RTM buat laporan polis susulan dakwaan tidak benar tentang hantaran sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. -Gambar hiasan

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) membuat laporan polis selepas stesen penyiaran itu menjadi mangsa fitnah di laman Facebook.

Ia susulan dakwaan tidak benar yang mengaitkan RTM dengan hantaran Facebook sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dibuat dalam bahasa Inggeris.

“RTM tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris. Apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM ialah terjemahan secara automatik oleh sistem Facebook.

rtm

Kesilapan terjemahan Facebook menyebabkan RTM menjadi mangsa fitnah di media sosial.

“Jika pengguna mengaktifkan terjemahan secara automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul. Terjemahan bahasa Inggeris oleh sistem Facebook adalah salah.

“RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut kenyataannya pada Ahad.

Terdahulu, tular tangkap layar memaparkan hantaran oleh akaun Facebook RTM yang memberi ucapan “condolences” atau takziah sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

ARTIKEL BERKAITAN: Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema! Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17

Dalam hantaran asal, RTM menggunakan perkataan “junjung kasih” namun ia diterjemah secara automatik kepada “condolences” oleh fungsi terjemahan automatik Facebook.

Dalam pada itu, RTM berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubungi pengendali Facebook iaitu META berhubung kekeliruan itu.

“RTM telah membuat laporan polis dan pihak SKMM telah menghubungi META berkaitan terjemahan yang salah oleh sistem META. META juga telah mengesahkan bahawa mereka telah membetulkan,” ujar kenyataan itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain