suria

Kes bunuh Nur Farah Kartini: Polis jumpa dompet, kunci kereta pula di Sungai Trolak

Dompet dan kunci kereta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Nur Farah Kartini. -Foto Bernama

SELEPAS penemuan telefon pintar dan beg tangan, polis menemui dompet dan kunci kereta di Sungai Trolak, Kampung Batu 4 Trolak, Perak, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.

Kedua-dua bahan bukti tersebut dijumpai pada pukul 12.20 tengah hari, Isnin, dalam operasi pencarian yang dilakukan Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Media melaporkan, kedua-dua bahan tersebut ditemukan pada jarak sekitar 50 meter dari jambatan.

Pada Rabu lalu, polis menemukan beg tangan dipercayai milik arwah di lokasi yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini pula ditemui di lokasi kedua

Sebelum itu, sebuah telefon pintar dipercayai milik mangsa ditemukan di kawasan parit ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada 15 Julai lalu.

Susulan itu, seorang lelaki yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek yang berusia 26 tahun itu pada mulanya direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai, sebelum remannya disambung selama tujuh hari lagi bermula 23 hingga 29 Julai 2024 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain