suria

Protes di Bangladesh: Kerajaan bawa pulang 124 pelajar Malaysia

Protes oleh golongan pelajar di Bangladesh yang menyaksikan bangunan kerajaan dibakar bagi membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam. -Gambar AFP

PELAN evakuasi diaktifkan untuk membawa pulang rakyat Malaysia, termasuk 124 pelajar di Dhaka, Bangladesh, susulan protes yang makin memuncak di negara itu yang setakat ini mengorbankan berpuluh-puluh individu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan untuk mempercepatkan rancangan membawa pulang rakyat Malaysia dari negara tersebut.

"Perkara (rusuhan) ini tidak akan selesai dalam masa terdekat, dan kita telah memutuskan untuk membawa pulang rakyat Malaysia," katanya dalam sidang media pada Isnin.

Menurutnya, penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia A330 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada pukul 10 pagi Selasa (23 Julai 2024).

ARTIKEL BERKAITAN: Ratusan pelajar Universiti Harvard protes ketika upacara graduasi, laung ‘Bebaskan Palestin’

Mohamad berkata 139 pelajar disahkan berada di Bangladesh, sambil menambah 15 daripadanya telah selamat pulang.

Tambahnya, seorang pelajar Malaysia di Chittagong Medical College tidak akan dibawa pulang kerana jauh dari kawasan rusuhan.

"Konsul Terhormat telah memberi jaminan keselamatan terhadapnya," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan bahawa beribu-ribu pelajar Bangladesh mengadakan tunjuk perasaan selepas mahkamah mengembalikan semula kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.

Susulan itu, kerajaan mengumumkan penutupan semua universiti awam dan swasta mulai Sabtu, iaitu ketika kemuncak protes.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain