suria

Kehilangan Albertine: 3 ditahan bantu siasatan

Albertine dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

POLIS menahan tiga individu susulan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Eco Galleria, Iskandar Puteri, pada Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Beliau berkata, tangkapan dibuat terhadap dua lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 55 tahun di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Isnin, bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Albertine hilang ditemui selamat

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak hilang ketika bermain dekat gerai, ibu bapa sedang berniaga

Menurut Kumar, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah," katanya dalam kenyataan.

Beliau bagaimanapun memberitahu, setakat ini kanak-kanak perempuan berkenaan masih belum ditemui.

Menurutnya, ketiga-tiga individu itu akan dibawa ke mahkamah pada Selasa bagi mendapatkan perintah remah untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian Bilik Gerakan 07-2212999," katanya.

Terdahulu, mStar melaporkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang sejak Sabtu di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor.

Kanak-kanak berambut panjang itu kali terakhir dilihat memakai kemeja-T Mickey Mouse berwarna putih.

Kanak-kanak bernama Albertine Leo Jia Hui itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (sm).

Bapanya menyedari dia hilang kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain