DIHALANG dan dihimpit secara agresif pelumba Perancis menjadi punca jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang meningkatkan kelajuan untuk berada di posisi hadapan. Menurut Azizulhasni pada ketika itu dia juga hampir terjatuh. “Ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba France (Perancis). "Himpitan itu terlalu aggressive dan bagi saya ia adalah intentionally aggressive (agresif dengan sengaja) kerana melanggar saya dan saya hampir terjatuh. "Saya terselamat daripada jatuh kerana quick reaction (tindakan pantas) dan good handling skill (cara pengendalian baik) yang saya ada," katanya dalam satu hantaran di Instagram pada pagi Ahad. Penyertaan Azizulhasni (kiri) dibatalkan dalam acara Olimpik 2024. Penjelasan yang dibuat Azizulhasni atau dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocket Man’ itu selepas penyertaannya ketika saringan pertama acara keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris dibatalkan. Kata pelumba berusia 36 tahun itu, pelumba Perancis berkenaan masih mengekori rapat di sebelah dan cuba memberi himpitan kedua menyebabkan Azizulhasni bergerak ke hadapan untuk mengelak. "Sebagai seorang pelumba Keirin yang elite, kita tahu speed (kelajuan) untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap (pusingan) terakhir pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50 hingga 55km/h (kilometer per jam). ARTIKEL BERKAITAN: Perjuangan Azizulhasni berakhir... Penyertaan batal selepas pintas ‘pacer’ "Akan tetapi pada perlumbaan saya pacer bergerak lebih perlahan berbanding speed sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat. "Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang dinginkan. "Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu line halus di tengah front stretch (bukannya starting line)," jelasnya lagi. Tambah Azizulhasni, selepas mendapat posisi keenam dalam undian, dia merangka strategi bersama jurulatih, John Beasley untuk memenangi peringkat saringan. "Hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley, plan terbaik adalah untuk terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin. Azizulhasni sudah merangka strategi bersama jurulatih, John Beasley untuk memenangi peringkat saringan. "Ini adalah kerana ada beberapa pelumba front runner (senko) berada di hadapan. Jika pelumba hadapan terus memecut awal, ia akan meletakkan saya di situasi sukar untuk bergerak ke hadapan pada kelajuan tinggi berdasarkan beberapa pelumba yang berada di hadapan saya. "Akan ada kemungkinan halangan dan jarak oleh beberapa pelumba hadapan jika saya menggunakan taktik menunggu. Jadi saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan kemungkinan untuk menang, dan bergerak awal ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu. "Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan dari belakang, ini sama ketika saya lakukan di perlumbaan Kejuaraan Asia di Kuala Lumpur dahulu juga. "Perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama)," jelasnya. Azizulhasni berharap peminat terus memberikan sokongan dan mendoakan buat Shah Firdaus(kiri). Menurut Azizulhasni lagi, situasi yang dihadapinya bukan perkara baharu kerana ia pernah berlaku dalam perlumbaan lain namun komisar hanya memulakan kembali perlumbaan dan tiada pelumba disingkirkan. "Jurulatih dan pengurus pasukan Izham Mohammad terus berjumpa dengan pihak panel komisar sejurus kejadian bagi menjelaskan keadaan dan memohon untuk mereka review kembali video perlumbaan dan keputusan. "Namun mereka memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama," katanya. Dalam pada itu Azizulhasni berharap peminat terus memberikan sokongan dan mendoakan buat seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom untuk menggalas tanggungjawab dan harapan baru bagi membawa pulang pingat emas untuk kontinjen Malaysia. "Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya," tambahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube