suria

Tolak isteri jatuh gaung: Lelaki mengaku tidak bersalah ugut, cubaan bunuh

Tertuduh (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, pada Jumaat.

SEORANG peniaga yang ditahan selepas memukul dan menolak isteri ke dalam gaung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan cubaan membunuh wanita itu, Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Azzuan Ahmad, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap Nor Diyanah Ahmad, 32, dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vios semasa melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menuju Kuala Kangsar pada malam 26 Julai 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek tolak isteri jatuh gaung direman tujuh hari, pernah disiasat cederakan abang di Baling

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita berjaya merangkak naik selepas ditolak suami ke dalam gaung, suspek ditahan kerana cubaan bunuh

Sementara itu, mengikut pertuduhan kedua, Mohd Azzuan didakwa cuba membunuh wanita sama yang merupakan isterinya sehingga mangsa mengalami kecederaan di tepi jalan berdekatan Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dalam daerah Gerik pukul lebih kurang 4 hingga 5 pagi pada 27 Julai 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Namun katanya, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan RM20,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan cubaan membunuh, serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan lapor diri di balai polis sebulan sekali.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh perlu menanggung lima anaknya yang masih bersekolah, selain tertuduh berjanji tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua-dua kes dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 September depan untuk lantikan peguam.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan polis kerana didakwa menyerang, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung berikutan pertengkaran mulut pada 27 Julai lalu.

Mangsa berusia 32 tahun terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter dan berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak ke tepi jalan, di mana dia ditemui orang awam kira-kira pukul 2 petang.

Akibat kejadian itu, mangsa difahamkan mengalami kecederaan di pinggang dan telah menerima rawatan di Hospital Taiping.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain