TULAR di media sosial rakaman memaparkan beberapa peniaga mengamuk di sebuah kedai makan menerusi video dimuat naik pada Jumaat malam. Dalam video tersebut, kumpulan peniaga berkenaan mempertikaikan tindakan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mengenakan kompaun terhadap mereka dipercayai kerana tidak memiliki lesen perniagaan yang sah. Sebagaimana didakwa di dalam video, peniaga-peniaga itu dipercayai berang apabila penguatkuasa tidak mengenakan kompaun kepada peniaga warga asing yang berniaga di kawasan sama. "Saya cakap terus terang la ya. Kenapa macam tu? Saya nak tegakkan hak saya. Saya orang Melayu (berniaga) sini. "Sekarang, peniaga sebelah ni orang Thailand. Kenapa orang Thailand boleh senang-senang lepas tapi orang Melayu kena kompaun? Tangkap layar video yang tular. "Dia keluarkan kompaun tak tu? Dia keluarkan, yang mereka (warga asing) dia tak keluarkan," kata salah seorang peniaga dalam video tersebut. Menerusi video berdurasi lebih tiga minit itu, peniaga berkenaan juga mendakwa mereka sering diberi surat saman termasuk juga beberapa premis perniagaan di sekitar kawasan sama. Memandangkan amukan mereka tidak dilayan pegawai penguatkuasa, salah seorang mereka kemudian cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang wakil MPAJ yang berada di situ. "Korang (awak semua) tak ada knowledge (ilmu pengetahuan). (Sekiranya nak dapat jawapan) datang MPAJ, kita jumpa jabatan undang-undang. Kalau nak bagi viral, kau punya pasal. "Sekarang ni kita sudah ambil tindakan. Kau tak puas hati, kau datang majlis, boleh jumpa dengan pegawai dekat sana. Ada jabatan undang-undang. "Itu pegawai tugaskan dia ambil gambar adalah bahagian perlesenan penjaja. Kami orang bahagian penguatkuasa. MPAJ ada 17 tingkat, setiap tingkat semua lain-lain bahagian," katanya panjang lebar. Komen netizen di TikTok. Selepas penjelasan dibuat, semua penguatkuasa beredar tanpa mengenakan tindakan kepada peniaga yang didakwa sebagai warga asing. Jika diteliti pada ruangan komen, rata-rata warganet berpendapat supaya pihak penguatkuasa tersebut diambil tindakan sewajarnya. "Jangan biar warga asing pijak kepala! Senang-senang je buka kedai. Geram pula aku. "Pergi MPAJ bang. Tak payah jumpa dengan bahagian penguatkuasa. Minta jumpa Yang di-Pertuan Agong. "Kalau nak sembang fasal undang-undang, biar semua adil sama rata baru boleh sembang," komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube