suria

Selepas sarapan semeja, Khairul Aming dapat pula surat penghargaan rasmi PM New Zealand... Netizen kata layak dapat ‘Datuk’

Khairul Aming berkongsi berita gembira mendapat surat penghargaan rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon,

AWAL September lalu, selebriti media sosial, Khairul Aming berkongsi momen bersejarah di mana dia menerima kunjungan istimewa daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di ibu negara.

Dalam pertemuan di restoran Hidang KL itu, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berpeluang menyajikan menu sarapan pagi tradisional Malaysia untuk Luxon, antaranya roti jala.

Untuk rekod, video pertemuan beliau dengan Luxon yang dimuat naik di TikTok sehingga kini meraih lebih 10 juta jumlah tontonan selain dibanjiri dengan puluhan ribu komen warga maya yang berbangga dengan pencapaian pempengaruh berkenaan.

Terbaharu, pempengaruh yang terkenal dengan tagline What's Up Guys itu berkongsi surat penghargaan rasmi yang diterima daripada Luxon, susulan pertemuan yang berlangsung 2 September lalu.

aming 3

Khairul Aming (kanan) memperkenalkan sajian tradisi Malaysia kepada Luxon.

"Kita baru terima surat penghargaan rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand di Wellington.

"Doakan agar kami dapat teruskan buat content yang harumkan nama Malaysia di mata dunia," tulis Khairul Aming dalam hantaran terbaharu di Instagram pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: 8 tahun lalu buat video masak atas lantai, Khairul Aming kini semeja dengan PM New Zealand... Siap kongsi masakan air tangan sendiri!

Antara isi kandungan surat berkenaan, Luxon meluahkan rasa gembira dan berbangga dengan pencapaian jejaka berkenaan yang berjaya mencipta nama menerusi video masakan sehingga meraih perhatian luar biasa.

"Industri pelancongan New Zealand sememangnya menghargai usaha anda," demikian antara coretan Luxon, selain mendoakan kejayaan Khairul Aming pada masa hadapan.

Setakat ini hantaran yang memaparkan surat penghargaan Luxon beserta momen-momen ketika melakukan penggambaran video travelog di New Zealand yang berlatarbelakangkan lagu Standing In The Eyes of The World nyanyian Ella, meraih lebih 100,000 likes dan ribuan komen dalam masa kurang sejam ia dimuat naik.

aming 2

Antara momen ketika penggambaran video travelog di New Zealand. -Foto Instagram Khairulaming

Rata-rata netizen meluahkan rasa gembira dan berbangga dengan pencapaian pempengaruh berkenaan yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

"Inilah influencer yang sebenar!

"Anak muda seperti ini yang patut dicontohi dan diangkat. Rakyat Malaysia tumpang berbangga.

"Yang ini memang layak dapat gelaran Datuk atau penghargaan yang setimpal kerana tunjukkan contoh yang baik dan mempromosikan negara," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain