suria

Kes GISBH: Anak bekas pemimpin Al-Arqam antara 7 ditahan

Razarudin mengulas mengenai penahanan terbaharu dikaitkan dengan GISBH. -Gambar fail

ANAK bekas pemimpin Al-Arqam antara tujuh lelaki, disyaki anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) ditahan di beberapa lokasi di Pahang dan Kelantan.

Suspek berusia antara 24 dan 35 tahun itu ditahan pada Khamis dalam operasi khas, Op Global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat untuk permohonan reman.

"Mereka direman tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: CEO GISBH, isteri antara 19 individu terbaru ditahan polis

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan 13 kanak-kanak diliwat, pemimpin GISB mungkin dipanggil beri keterangan

Beliau berkata, kesemua suspek itu ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam.

"Soal siasat terhadap suspek sedang dijalankan," katanya.

Pada Khamis, seramai 19 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif GISB, isterinya dan ahli keluarga lain ditahan.

Mereka ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira pukul 5.40 pagi berikutan serbuan di empat unit kediaman di Jalan Imbi.

Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman dalam serbuan sehingga Rabu.

Pada Rabu, polis merekodkan keterangan 740 individu sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas GISB.

Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka dan polis membekukan 96 akaun bank yang dikaitkan dengan GISB membabitkan jumlah keseluruhan RM581,552.

Pada 11 September lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur antara satu hingga 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.

Terdapat dakwaan bahawa kanak-kanak itu didera, dieksploitasi dan diserang secara seksual.

Seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain