suria

Perlis isytihar GISBH ajaran sesat... Wujud kesinambungan ajaran al-Arqam

Mohd Asri mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli GISBH.

JAWATANKUASA Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa itu dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Jelasnya, unsur ajaran batiniah itu adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang sudah difatwakan sesat.

"Setelah jawatankuasa berbincang, diputuskan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin mereka sehingga melampaui batasan ke tahap menyamakan kedudukan setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban, mengetahui perkara ghaib seakan Tuhan, adalah fahaman yang bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.

"Kesan dan akibat pengkultusan itu melahirkan ketaksuban melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama. Ini sekali gus jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: CEO GISBH, isteri antara 19 individu terbaru ditahan polis

ARTIKEL BERKAITAN: Diajar meliwat dan diliwat! 402 kanak-kanak dan remaja di rumah amal GISB dieksploitasi

Keputusan itu menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Beliau berkata, ahli GISBH juga didapati mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.

Jelasnya, mereka juga dilihat mengambil keberkatan secara melampau daripada sisa tubuh badan pemimpin mereka.

"Mereka juga mengaitkan pemimpin yang dikultuskan dengan unsur yang dapat menjustifikasikan tindakan yang salah, dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

"Mereka juga mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka.

"Malah, mereka mewujudkan hukum-hakam syarak baharu untuk menjustifikasi aktiviti yang bercanggah dengan syarak seperti hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan muamalat," katanya.

Serbuan PDRM menerusi Op Global di rumah amal kendalian GISBH, baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Asri berkata, selepas meneliti pengoperasian aktiviti ekonomi GISBH, jawatankuasa menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan bukan model ekonomi Islam sebenar.

Malah katanya, ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terbabit serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

"Oleh itu, segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH dilarang dan jawatankuasa ini mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli GISBH yang ingin keluar daripada kesesatan ini.

"Peruntukan zakat boleh digunakan untuk pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri daripada organisasi ini dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah," katanya.

Mohd Asri berkata, peruntukan zakat mengikut fisabililah, al-Riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tujuan ini.

"Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak bekas ahli GISBH untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya.

"Badan swasta boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain dan masyarakat Islam seluruhnya hendaklah ambil sikap positif dalam usaha membantu bekas ahli GISBH keluar daripada belenggu kesesatan ini," katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, semua pihak hendaklah bersama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain