suria

Niat bantu jiran lapor polis bertukar tragedi, lelaki maut ditetak... Anak saksi kejadian depan mata

Tompokan darah di lokasi kejadian di mana mangsa maut ditetak suspek. -Gambar PDRM

NIAT baik berakhir dengan tragedi.

Seorang lelaki maut ditetak selepas cuba membantu jirannya membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, kejadian yang berlaku di Taman Juta, Keningau, pada malam Khamis itu berpunca apabila berlaku pertengkaran antara suspek iaitu lelaki berusia 40 tahun dengan isterinya.

Menurutnya, isteri suspek kemudian melarikan diri ke rumah jiran iaitu mangsa.

"Difahamkan mangsa telah membantu isteri suspek untuk membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.

"Semasa berada di balai, anak mangsa menghubunginya dan memaklumkan suspek mengamuk di depan rumah mereka.

"Kemudian mangsa bersama anaknya yang berusia tujuh tahun pulang ke rumah. Isteri suspek turut pulang ke rumah untuk meredakan kemarahan suaminya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Pereka dalaman maut ditikam 20 kali, jiran dengar pergaduhan dari rumah mangsa

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, mangsa bertemu dengan suspek dan berlaku pergaduhan.

Menurut Alizam, suspek kemudian bertindak menetak tangan mangsa dan kejadian turut disaksikan anaknya.

Mangsa yang mengalami pendarahan teruk akibat tetakan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambah beliau, suspek melarikan diri sejurus kejadian itu dan usaha mengesannya kini sedang giat dijalankan.

Alizam berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan antara mangsa dan suspek disebabkan rasa tidak puas hati serta cemburu terhadap mangsa kerana membantu isterinya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain