SERAMAI 155 suspek, termasuk 77 wanita yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), ditahan dalam serbuan Ops Global di seluruh Semenanjung pada Sabtu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 82 premis diserbu, termasuk rumah amal, klinik, premis perniagaan dan kediaman. "Kesemua yang ditahan sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Menurut Razarudin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membuat beberapa rampasan, termasuk buku yang dipercayai mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam serta barang khurafat. ARTIKEL BERKAITAN: Polis periksa rumah disyaki dihuni ahli GISBH, jiran akhirnya buka cerita "Seramai 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita, termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISB (yang dilihat dalam video tular), turut diselamatkan dalam operasi tersebut," katanya. Razarudin memberitahu, seramai 2,528 anggota polis serta 1,273 pegawai dari agensi lain terlibat dalam serbuan Ops Global pada Sabtu. "Kami turut menemui pelbagai premis kosong yang dipercayai telah dikosongkan oleh ahli GISBH. "PDRM menasihatkan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membuat laporan polis," katanya. Terdahulu pada Sabtu, Razarudin memaklumkan seramai 200 suspek ditahan dalam siasatan yang sedang berjalan terhadap GISB yang diberi nama kod Ops Global, sejak 11 September lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube