suria

GISBH: Sultan Selangor dukacita penguatkuasaan lemah, mahu semua terlibat diheret ke mahkamah

Sultan Selangor duka cita dikejutkan dengan berita siasatan polis terhadap kegiatan jenayah oleh kumpulan GISBH.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita selepas dikejutkan dengan berita berkaitan siasatan polis terhadap kegiatan jenayah oleh kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, baginda kesal apabila isu membabitkan GISBH sudah berlanjutan dalam tempoh yang lama kerana ia boleh mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

"Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal," titah Sultan Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: GISBH: Lagi 155 suspek ditahan, 186 mangsa diselamatkan

Dalam pada itu, baginda turut memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota Mais di dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara itu untuk mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil.

"Beta menitahkan semua agensi agama Islam Selangor iaitu Mais, Jais, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama PDRM (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.

"Pada masa sama, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat dari terus dianiayai, Beta menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam yang di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah hendaklah diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor," titah baginda.

Baginda turut menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor agar mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ianya menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain