suria

Tragis! Warga emas temui ajal, kereta rempuh lori balak

Kemalangan ngeri di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas.

SEORANG warga emas maut dalam kemalangan selepas kereta yang dipandu merempuh belakang sebuah lori membawa muatan balak di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, Kelantan pada awal pagi Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Tan Ah Wang, 71, maut di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata siasatan mendapati ketika kejadian, sebuah lori jenis Mercedes Benz Prime dipandu seorang lelaki sedang dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.

"Lori terbabit sedang membelok ke simpang sebelah kanan jalan ketika kejadian.

"Kemudian dari arah bertentangan, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Ah Wang dan isterinya merempuh bahagian tayar belakang lori tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, isteri mangsa yang berada di tempat duduk depan penumpang cedera ringan di bahagian tangan dan dirawat di Hospital Tanah Merah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain